Wednesday, February 17, 2010

TABII MANUSIA

Pendahuluan

Manusia adalah nadi pembangunan, sesuatu pembangunan tidak bermakna sekiranya ia gagal menghasilkan suatu keadaan yang baik samada dari segi material ataupun kerohanian.Oleh sebab itu Islam melihat pemahaman terhadap manusia penting dalam merangka strategi pembangunan. Ia meliputi persoalan tentang tabii manusia seperti fungsi manusia, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban terhadap seseorang, kemahuan dan keperluan, hubungan terhadap alam sekitar dan kelakuan sosial dan politik.

Tabii Manusia
Terdapat tiga aliran pemikiran berkaitan dengan tabii manusia. Pertama, ia berdasarkan persoalan moral yang berakar umbi daripada kebebasan rohaniah.Pendapat ini menegaskan bahawa cara mengubah seseorang adalah dengan cara menyucikan hati, seterusnya ia akan dapat mengubah institusi dan lingkungannya.

Aliran pemikiran kedua ini berpendapat bahawa manusia dicipta oleh kuasa luaran di sekelilingnya. Oleh itu persekitaran perlu diubah terlebih dahulu. Seterusnya aliran pemikiran yang ketiga melihat kepada satu alternatif iaitu setiap tindakan adalah interaksi antara tabii manusia dan alam sekitar. Kemajuan manusia berkembang dengan dua cara iaitu kebebasan diperolehi dengan interaksi yang mengekalkan alam sekitar untuk kehendak dan pilihan manusia untuk sesuatu.

Menurut pendangan Islam , manusia dijadikan oleh Allah berdasarkan syariat Islam. Dalam al-Quran, dinyatakan tentang manusia sebagai makhluk yang bermoral, mampu membezakan di antara yang baik dan buruk serta bebas memilih dengan bantuan dan petunjuk Allah. Sebagaimana firman Allah:

‘Dan jiwa serta penyempurnaanNya (ciptaan Allah) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwa itu, dan rugilah orang yang mengotorinya.’
( Al-Quran, 91: 7-10)

Jenis Manusia

Tokoh-tokoh Islam mengelaskan manusia kepada tiga kumpulan. Pertama, merangkumi manusia yang hidup untuk keduniaan dan keseronokan, termasuklah mereka yang berfahaman materiallistik, ateis, tidak mempercayai hari akhirat dan bergantung kepada kenyataan yang dapat dilihat dan dirasai.

Golongan kedua ini adalah manusia yang keliru dan kabur tentang kewujudan mereka. Walaupun golongan oni percaya Tuhan dan hari Akhirat tetapi mereka telah mengasingkan amalan agama daripada kehidupan seharian. Golongan mereka ini merupakan golongan majoriti manusia.

Golongan ketiga termasuk mereka yang menerima kehidupan dunia sebagai penyambung hari Akhirat. Mereka menerima intisari dan makna kehidupan di dunia dan juga Akhirat serta berhubung rapat di antara keduanya. Golongan ini meliputi orang mukmin. Hal ini diterangkan dengan jelas dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah:

‘Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada mainan dan senda-gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?’
(Al-Quran. 6:32)

Jelas Islam menggalakkan manusia memperbaiki dan memperbaharui setiap aspek kehidupan, serta memberi sumbangan kepada tamadun manusia. Oleh sebab itu setiap aktiviti yang dijalankan perlulah berpandukan etika dan moral, memenuhi dua syarat iaitu tidak merugikan manusia malahan memberi manfaat kepada mausia.

Setiap umat Islam diharapkan dapat memahami tentang beberapa perkara pokok dalam menjalani kehidupan iaitu
i. tujuan manusia dijadikan di dunia
ii. hubungan antara nilai kehidupan dunia dan Akhirat
iii. kematian yang pasti berlaku
iv. intisari ilmu di dalam Islam
v. intisari jahiliah

Andaian Islam Tentang Manusia

Berdasarkan perbincangan tentang tabii manusia, maka dapat dibuat andaian tentang manusia seperti kekuatan dan kelemahan, motivasi, keinginan, hak dan tanggungjawab serta hubungannya dengan pekerjaan.

Pertama, pekerjaan merupakan aktiviti yang lazim dilakukan oleh manusia. Menurut Islam segala pekerjaan dan amalan yang baik akan mendapat pahala, manakala segala kejahatan, keburukan dan pekerjaan yang tidak bermanfaat hendaklah dijauhi.

Kedua, manusia adalah makhluk yang cerdik dan berupaya mengendalikan kawalan diri dalam kehidupan seharian. Dalam Islam kesedaran kerohanian dan intelektual penting bagi membolehkan manusia mangatasi nafsu serta kemahuan untuk mencapai tingkat kawalan diri yang paling tinggi.

Ketiga, manusia adalah makhluk yang bertanggungjawab serta berpotensi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Dalam Islam, setiap bayi yang dilahirkan adalah suci, dan ia mempunyai potensi yang boleh dimotivasikan bagi membolehkan ia menjalankan tanggungjawab dengan baik Islam menganjurkan supaya adanya pengawasan untuk menjamin kejahatan manusia dapat dihapuskan, manakala kebaikan manusia dimotivasikan.

Keempat, mausia adalah makhluk intelek yang dapat menggunakan akal dan kepakarannya untuk memajukan manusia di muka bumi dan menjadikannya lebih kaya. Setiap individu mempnyai kebebasan membuat perubahan, namun kebebasan perlu disertai dengan tanggungjawab. Ini dapat mewujudkan kebolehan kreatif manusia.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa Islam melihat manusia dalam bentuk yang baik dan murni. Islam meletakkan masalah kepercayaan ditempat tertinggai bagi membentuk personaliti. Personaliti Islam yang muncul daripada sistem kepercayaan tersebut mempunyai empat komponen asas, seperti yang diterangkan dalam al-Quran dan Hadith, iaitu:

i. kepercayaan kepada keesaan Allah
ii. kepercayaan kepada kesatuan umat
iii. menghormati manusia sebagai individu
iv. penghapusan sifat perkauman dalam masyarakat.

Fungsi Manusia

Fungsi manusia yang asas adalah untuk beribadat kepada Allah, yang merangkumi satu konsep yang luas.Islam mengiktiraf sesuatu perkara yang dilakukan oleh manusia itu sebagai ibadat sekiranya ia memenuhi syarat iaitu diniatkan semata-mata untuk mencari keredaan Allah, dan dengan cara yang betul.Berbeza dengan istilah ‘penyembahan’ yang digunakan oleh barat.
Selain fungsi manusia untuk beribadat kepada Allah, manusia juga diangkat menjadi khalifah di muka bumi ini, memerintah dan memakmurkannya mengikut syariat Islam. Seorang sarjana Islam yang terkemuka, Nadvi, menerangkan tentang, bagaimana pencapaian manusia sebagai khalifah Allah dapat diperolehi:

i. Bahawa manusia perlu memperoleh pengetahuan yang utuh tentang peristiwa tabii yang lengkap dan hukum-hukum yang mendasari kerjanya.
ii. Manusia harus mengawal nafsu tabii sepenuhnya (sifat-sifat keburukan)
iii. Manusia harus mengamalkan akhlak yang mulia, yang dapat mendekatkan dirinya kapada Yang Esa.

Tanggungjawab Manusia

Tanggungjawab penting yang dipikul oleh manusia telah dijelaskan dalam al-Quran, iaitu kepercayaan untuk memakmurkan muka bumi. Merangkumi kepatuhan kepada segala perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya. Sebagaimana firman Allah:

‘Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikulkan amanah itu oleh manusia. Sesungguhhya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.’
( Al-Quran, 33:72 )

Akal dan roh merupakan dua elemen penting, menyebabkan manusia saja di antara sekelian makhluk Allah yang diberi kepercayaan daripadaNya.Dengan panduan akal yang dikurniakan Allah membolehkan manusia membezakan buruk baik sessuatu yang dilakukan. Oleh sebab itu setiap individu adalah bertanggungjawab di atas perbuatannya sendiri, samada baik atau jahat.

Sifat Politik Manusia

Adalah penting bagi umat Islam untuk berusaha ke arah membentuk keadaan dan situasi yang berguna dan baik dalam hubungan sesama manusia. Sifat politik manusia dalam Islam berkisar kepada dua konsep penting iaitu keimanan dan perubahan. Keimanan perlu menjadi teras utama dalam menjalani kehidupan yang berkait rapat dengan aktiviti manusia yang pelbagai ragam dan jenis.

Manusia, menurut Islam tidak disuruh untuk berdiam diri, malahan disuruh melakukan perubahan. Perubahan perlu dilakukan bagi menggantikan keadaan yang kurang baik atau memperbaiki keadaan. Perubahan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan elemen ketauhidan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

‘Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, dan jika dia tidak boleh ,diubahnya dengan lidahnya; dan apabila ia tidak mampu berbuat demikian, ubahlah dengan hatinya- maka itu adalah selemah-lemah iman’.
Kelakuan Sosial Manusia

Megid Mansour, membahaskan tentang kelakuan sosial manusia dari perspektif Islam dengan mengariskan beberapa ciri . Pertamanya Allah mencipta manusia dengan dilengkapi keinginan, berdasarkan kecergasan seperti makan,minum, bergerak dan bersahabat.Kedua, mausia mempunyai sifat ragu-ragu dan ingin tahun yang tinggi, sering mencari sebab dan musabab.

Ketiganya, manusia dicipta untuk menikmati kehidupan akhirat Jika telah diletakkan matlamat akhirat sebagai sasaran, maka adalah sukar untuk mengongkong aktiviti manusia dan menghalang pencapaian matlamat tersebut. Akhir sekali beliau menyatakan bahawa manusia, sesungguhnya tidak dapat hidup bersendirian kerana ia adalah makhluk sosial yang perlu berada di dalam kumplan.


Manusia, Pembangunan Dan Modenisasi Dalam Islam

Proses pembangunan dalam Islam hendaklah ditujukan kepada matlamat utama iaitu mengabdikan diri kepada Allah, bukannya kepada matlamat pembangunan yang tidak berunsur Islam. Pembangunan dalam Islam cuba mengimbangi kebendaan dan keperluan mental dan kerohanian.Islam tidak melarang keinginan terhadap kekayaan material, namun tidak menjadikannya sebagi matlamat utama kewujudan manusia.

Oleh sebab itu umat Islam digalakkan mencari ilmu pengetahuan, kerana tanpa ilmu pengetahuan, Islam tidak mungkin berkembang dengan berbagai cabang, termasuklah sains dan teknologi. Sesungguhnya, Islam mampu berkembang, membangun dan memodenkan sebagaimana pembangunan lain.


Kesimpulan

Perancangan pembangunan dan modenisasi sesebuah masyarakat, perlukan kepada pemahaman yang jelas dan nyata tentang unsur yang paling penting dalam proses pembangunan iaitu manusia sendiri. Oleh sebab itu perlu dikaji tentang tabii manusia dan asal-usul kejadian manusia itu sendiri.

KONSEP AKHLAK

SUMBER PEMBENTUKAN AKHLAK


Prof. Dr. Ahmad Amin, (Al-Akhlaq)

Akhlak ialah suatu ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh sesetengah manusia kepada lainnya, menyatakan tujuan yang harus dituju oleh manusia dalam perbuatan mereka dan menunjukkan jalan untuk melakukan apa yang harus diperbuat.


Firman Allah:

“ Sesungguhnya dalam diri Rasulullah itu menjadi teladan yang baik untuk kamu dan untuk orang yang mengharapkan menemui Allah pada hari kemudian, serta ia banyak mengingat Allah”
( Al-Ahzab : 21)


Sabda Rasulullah:

“ Aku diutuskan untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budipekerti)”
(Riwayat : Ahmad)




· Akhlak di dalam Islam adalah bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadith.

· Akhlak menyatakan dengan jelas tujuan akhir setiap pekerjaan yang dilakukan iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.






PRINSIP-PRINSIP AKHLAK ISLAM


I. Persamaan Taraf
Semua manusia adalah sama dan yang membezakan adalah ketaqwaan.

II. Kebebasan Memilih
Kebebasan manusia dalam memilih sesuatu tidak terlepas daripada syariat Allah.

III. Tanggungjawab
Agama, diri, sesama manusia dan persekitaran.

IV. Universal.
Ikut fitrah manusia





Abdullah Nasih Ulwan

Ketaqwaan kepada Allah sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil.


Ketaqwaan adalah merupakan suatu hasil yang jitu, serta buah yang semulajadi bagi perasaan yang dilimpahi dengan keimanan yang mendalam berhubung dengan muraqabah. Lahir satu perasaan ketakutan kepadaNya, kegerunan dan kemurkaan dan seksaanNya, keinginan serta kesungguhan kepada keampunan dan kurnia pahalaNya.








Ad-Deen Islam

Aqidah




Taqwa



Syariat Akhlak






Sembahyang




Puasa Zakat




Akhlak






Haji

KONSEP MORALITI DALAM ISLAM

Konsep moraliti dalam Islam adalah bertitik-tolak daripada kejadian manusia sebagai ciptaan Allah. Ia mempunyai peranan dan tanggungjawab terhadap Allah dan sesama makhluk ciptaanNya, bagi tujuan memakmurkan alam ini.

Dengan adanya rasa tanggungjawab, melaksanakan kewajipan terhadap Allah dalam setiap perlakuan inilah yang memberikan kelebihan tersendiri terhadap moraliti dalam Islam. Ini dapat menghindarkan seseorang itu daripada melakukan dosa dan seterusnya menuju jalan kebaikan.

Tindakan bermoral dalam Islam adalah hasil daripada didikan al-Quran yang ditunjukkan dalam kehidupan rasul. Tindakan baik atau buruk telah ditetapkan oleh Allah. Hal ini diakui sendiri oleh sarjana barat, Anderson (1959) di mana setiap muslim mempunyai kualiti etika dalam setiap tindakannya samada qubhi atau hasn iaitu sesuatu yang buruk atau baik. Kesemua ini ditentukan oleh wahyu Allah, bukannya diterima daripada alasan akal manusia semata-mata.

Tindakan , samada baik atau buruk adalah bergantung kepada motif atau niat. Ini dikaitkan dengan penentuan ganjaran dan balasan yang akan diperolehi di hari akhirat kelak. Moral Islam mengambilkira apa yang tersirat di dalam hati seseorang yang berhubungkait dengan niat. Sebagaimana hadis,
“ Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang apa yang ia niatkan, maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasulnya dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwini, maka hijrahnya kepada apa yang ia hijrah kepadanya itu”
( Riwayat Bukhari, Muslim)

Dalam Islam, tingkahlaku adalah perlu bertunjangkan kepada taqwa. Taqwa adalah penting dalam menentukan nilai perbuatan seseorang. Sebagaimana firman Allah,
“Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu mengenal satu dengan lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertaqwa (memelihara diri daripada kejahatan). Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Mengerti.
(Al-Hujurat : 13)

Pembentukan tingkahlaku dalam Islam, merujuk kepada 5 asas rukun Islam iaitu Iman (kalimah syahadah), solat, puasa, zakat dan haji. Pelaksanaan rukun Islam ini memberikan impak dalam usaha mensucikan jiwa. Seterusnya mendidik keinginan nafsu ke arah yang dikehendaki Islam. Sehubungan dengan itu, penulis menggariskan 2 kaedah bagi menghindarkan diri daripada sumber-sumber dosa, antaranya,

i. pendidikan moral
ii. pensucian jiwa


Pendidikan moral dalam Islam adalah menuju kepada pembangunan tingkahlaku yang menghindarkan diri daripada perkara yang tidak baik. Amalan tingkahlaku adalah berdasarkan arahan yang terkandung di dalam al-Quran yang telah dicontohkan oleh rasul. Jelas sekali bahawa tiada teori moral, melainkan Islam itu sendiri dilihat telah lengkap dan sempurna.

Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap, mencakupi segenap bidang kehidupan. Ianya dikawal oleh undang-undang Allah. Kehidupan Islam mementingkan kepada kesederhanaan, sebagaimana firman Allah,
“Begitulah, Kami jadikan kamu umat pertengahan, supaya kamu menjadi pemberi keterangan kepada manusia, dan rasulnya menjadi saksi kepada kamu”
(Al-Baqarah : 143)

Schacht, dalam bukunya An Introduction to Islamic Law, melihat undang-undang Islam adalah sesuatu yang sistematik dan saling berkait di antara satu dengan lain. Keseluruhan undang-undang diawasi oleh agama dan pertimbangan etika, seterusnya dapat mengawal keinginan nafsu yang tidak terbatas dan mementingkan kesederhanaan.


Nilai Moral Dan Sistem Sosial Islam

Sistem sosial Islam, menekankan kepada keadaan semulajadi masyarakat yang dibentuk berdasarkan undang-undang Allah untuk tujuan mewujudkan keharmonian dan keamanan di akhirat. Islam sebagai ‘agama’ yang universal, dimana setiap muslim adalah sentiasa saling berinteraksi di antara sesama mereka. Sebagaimana hadis ,
“Manusia, antara satu dengan lain adalah seumpama satu badan, jika satu bahagian berasa sakit, maka keseluruhan badan juga akan lemah dan berasa sakit”

Bagi mengetahui nilai moral dalam sistem sosial Islam, dipertimbangkan dua bidang utama iaitu bidang ekonomi dan politik.

Sistem ekonomi Islam adalah berasaskan wahyu Allah melalui al-Quran dan sunnah. Ianya berkehendakkan keadilan dalam pengagihan kekayaan. Prinsipnya bahawa Allah adalah maha pencipta dan pemilik segala sesuatu termasuklah segala kekayaan. Manusia hanyalah sebagai pengurus amanah milik Allah. Oleh sebab itu nikmat kekayaan yang Allah kurniakan hendaklah digunakan untuk tujuan yang berfaedah.

Jika seseorang mempunyai harta kekayaan yang lebih selepas dibelanjakan di dalam perkara-perkara harus, maka ia boleh memiliki, samada hendak terus disimpan atau dilaburkan ke bidang-bidang lain. Di sini Islam meletakkan sempadan-sempadan dengan menetapkan pembayaran zakat sekiranya cukup syarat-syaratnya.



Sementara sistem politik Islam berkait dengan bentuk organisasi dan pentadbiran negara. Negara Islam adalah negara yang menjadikan Islam sebagai amalan cara hidup. Ketua bagi negara Islam pula hendaklah di kalangan mereka yang mampu melaksanakan undang-undang Allah. Mengikut penulis, Islam adalah kedua-duanya iaitu agama dan negara. Ia bukan sahaja melibatkan di antara pencipta dan yang dicipta, tetapi di antara sesama manusia. Jelas sekali bahawa dalam Islam membangun personaliti adalah penting bagi menjamin kualiti masyarakat. Tegasnya individu adalah untuk masyarakat dan masyarakat untuk individu.

Keistimewaan Falsafah Moral Islam

Secara falsafah moralnya, Islam dilihat sebagai satu ‘agama’ yang bersifat universal pada sebarang masa. Ianya bersumberkan kepada al-Quran dan sunnah. Menekankan kepada pembangunan yang seimbang diantara jasad dan roh bagi melahirkan kehidupan yang sejahtera di akhirat kelak.

Kesejahteraan dan kebahagiaan di dalam Islam, bukannya dinilai dengan harta-benda yang dapat memenuhi hawa nafsu semata-mata. Setiap nikmat yang dikurniakan Allah perlu dipergunakan dan disempurnakan hak-haknya. Sebagaimana firman Allah,

“Dan carilah dengan apa yang diberikan Allah kepada kamu(keselamatan) kampung akhirat, jangan kamu lupa bahagian kamu di dunia ini, buatlah kebaikan sebagaimana Allah telah berbuat kebaikan kepada kamu dan janganlah kamu membuat bencana di muka bumi; sesungguhnya Allah tiada mencintai orang-orang yang membuat bencana.”
(Al-Qashash : 77)

Allah yang Maha berkuasa terhadap semua makhluk termasuklah manusia, telah menentukan kada’ dan kadarnya. Persoalan tombul, tentang bagaimana seseorang itu boleh dipertanggungjawabkan terhadap tindakan, sedangkan ia telah ditentukan Allah?. Sehubungan dengan itu timbullah dua golongan ekstrem iaitu dikenali sebagai Jabariyya yang berserah bulat-bulat kepada Allah dan manusia tidak mempunyai kuasa. Sedangkan golongan Qadriyya pula menganggap manusia berkuasa penuh menentukan segala tindakannya. Daripada dua ekstrem tersebut maka lahirlah golongan ‘pertengahan’ yang dikenali sebagai ahli sunnah wal jamaah, yang menjadi ikutan majoriti umat Islam masakini.

Al-Quran menjelaskan bahawa manusia yang diberikan oleh Allah aqal boleh memilih perbuatan hendak dilakukan. Setiap tindakan yang dilakukan itu tidak terlepas daripada konsep dosa dan pahala yang akhirnya diberikan pembalasan oleh Allah di akhirat kelak. Sebagaimana firman Allah,

“Kalau kamu ingkar (kepada Allah) sesungguhnya Allah itu tiada mempunyai keperluan kepadamu. Tuhan tiada menyukai sifat tidak tahu berterima kasih dari hamba-hambaNya. Dan kalau kamu tahu berterima kasih, Tuhan itu akan suka kepadamu. Dan seseorang pemikul beban tiadalah akan memikul beban orang lain. Kemudian tempat kembali kamu kepada Tuhan, lalu diberitakanNya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mengetahui isi hati”
( Az-Zumar : 7 )

Sehubungan dengan makna ‘predestination’ Rasulullah telah menjelaskan dalam bentuk nasihat tentang tindakan yang betul, perlu dilakukan, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah,

“Sesiapa yang memberi (untuk kebaikan) dan memelihara dirinya dari kejahatan, dan membenarkan (mempercayai) yang baik, Kami akan memudahkan kepadanya menempuh (jalan) yang mudah. Tetapi orang yang kikir dan merasa dirinya serba cukup, dan mendustakan yang baik. Kami akan memudahkan kepadanya menempuh (jalan) kesulitan”.
( Al-Lail : 5-10 )

Jelas menunjukkan bahawa, seseorang itu dapat menempuh jalan mudah, sekiranya ia beriman dan melakukan perkara yang baik. Sebaliknya berlaku sekiranya seseorang melakukan perkara-perkara yang buruk.


Kesimpulan

Setelah dibincangkan tentang konsep moral dalam Islam, jelas bahawa ianya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri antaranya:

i. Al-Quran dan Sunnah Sumber Moral.
Kedua-dua dasar inilah yang menjadi landasan dan sumber ajaran Islam secara keseluruhan sebagai pola hidup dan menetapkan mana yang baik dan mana yang buruk.

ii. Kedudukan Akal dan Naluri
Akal dan naluri adalah anugerah Allah, ia bersifat terbatas. Akal masih perlu bimbingan dan petunjuk dari sumber kebenaran yang mutlak iaitu al-Quran.

iii. Motivasi Iman
Iman yang tersemat di dalam jiwa akan menjadi pendorong yang kuat untuk melakukan amal perbuatan yang baik.

iv. Ikhlas Niat
Setiap perbuatan perlu disertai dengan niat semata-mata kerana mencari keredaan Allah. Sesuai dengan pola hidup yang diajarkan oleh Islam, bahawa seluruh kegiatan hidup semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya.

Bibliografi


Anderson, J.N.D., Islamic Law in the Modern World, London, 1959.

Muslehuddin, M., Morality It Concept And Role In Islamic Order, Lahore, 1978.

Hamzah Ya’qub, Etika Islam, Pembinaan Akhlaqulkarimah, Suatu Pengantar, Bandung, 1983.

Schacht, J., An Introduction to Islamic Law, Oxford, 1964.

Al-Quran terjemahan.

TESIS RUJUKAN

BAB I



1.1 Pengenalan

Sistem pendidikan negara memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara.Malaysia kini memerlukan lebih banyak pakar dalam bidang sains dan teknologi yang berkebolehan mengasimilasi dan menilai maklumat secara sistematik.Hal ini dapat dipenuhi dengan adanya pihak tertentu yang menguasai bidang ilmu matematik.

Bidang Matematik mempunyai banyak implikasi dalam berbagai ilmu pengetahuan ( Ling, 1977). Ia digunakan untuk pengiraan, penyelesai masalah, menerangkan konsep, fakta atau teori dan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah dalam sesuatu ilmu.

Kemajuan tamadun manusia, telah menyebabkan berlakunya ledakan ilmu pengetahuan dan kecanggihan sains dan teknologi bagi keperluan pekerjaan dan kehidupan seharian. Salah-satu asas untuk menghadapi perkembangan sains dan teknologi ini, memerlukan setiap golongan masyarakat tidak mengira bangsa atau keturunan perlu menguasai dan mempertingkatkan kemahiran matematik. Setiap ahli masyarakat semestinya berupaya memahami dan menggunakan pengetahuan matematik untuk menyediakan kehidupan lebih bermakna (Reyes & Stanic, 1988). Bidang matematik menjadi satu tapisan penting untuk memperoleh pekerjaan dalam sesuatu masyarakat. Secara asasnya setiap aktiviti pekerjaan tidak terpisah dengan angka-angka dan pengiraan. Oleh itu ilmu matematik amat perlu bagi seseorang itu berperanan dalam organisasi berbeza dalam masyarakat.

Sekolah sebagai satu institusi sosial yang berperanan penting untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang matematik . Oleh demikian segala faktor perlu diambil kira bagi mempastikan pelajar memperoleh pencapaian yang baik dalam matematik terutamanya pada peringkat awal.

Walaupun guru di semua sekolah telah mendapat latihan yang sama, tetapi pencapaian akademik antara sekolah-sekolah rendah seperti Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan adalah berbeza terutamanya dalam matapelajaran matematik. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pencapaian matematik pelajar, ada antaranya saling berkaitan.



1.2 Latarbelakang Masalah

Akta Pendidikan secara jelas memberi kebebasan kepada ibubapa memilih jenis pendidikan awal yang sepatutnya diikuti oleh anak mereka. Justeru wujud dua aliran pendidikan sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan yang dirujukkan kepada etnik iaitu Cina dan India. Meskipun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) umpamanya merujuk kepada etnik Cina, namun terdapat juga kaum lain turut mendapat pendidikan di sekolah tersebut sebagai contoh di daerah Johor Bahru. Peratusan bilangan pelajar Melayu yang mendapat pendidikan di SJKC boleh dirujuk jadual 1.

Berdasarkan enrolmen pelajar di negeri Johor didapati bahawa bilangan pelajar yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan adalah lebih ramai iaitu seramai 228,350 orang berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina seramai 109,639 orang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seramai 11,466 orang seperti dinyatakan dalam jadual 2.

Meskipun bilangan pelajar dari Sekolah Kebangsaan adalah ramai seperti dinyatakan di atas namun peratus pencapaian dalam matematik pada peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) beberapa tahun kebelakangan ini adalah rendah berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Ini ditunjukkan dengan jelas pada jadual 3.

Jadual 1: Bilangan Pelajar Melayu Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
Di Daerah Johor Bahru Sehingga Mac 2002.

Kod Sekolah

Nama Sekolah
Jumlah
Pelajar
JBC 1003
SJK (C) Foon Yew 1, Jalan Kebun Teh
27
JBC 1004
SJK (C) Foon Yew 2, Jalan Tasek Utara
24
JBC 1005
SJK (C) Foon Yew 3, Jalan Dato’ Jaafar
59
JBC 1006
SJK (C) Foon Yew 4, Jalan Cendarasari
51
JBC 1007
SJK (C) Foon Yew 5, Jalan Dato’ Jaafar
64
JBC 1008
SJK (C) Kuo Kuang, Batu 8.5 Skudai
38
JBC 1012
SJK (C) St. Joseph, Jalan Abd. Rahman Andak
42
JBC 1013
SJK (C) Tampoi, Jalan Dato Daud
70
JBC 1020
SJK (C) Ming Terk, Gelang Patah
18
JBC 1021
SJK (C) Pei Hwa, Taman Perling
79
JBC 1022
SJK (C) Ping Ming, Lima Kedai
14
JBC 1023
SJK (C) Pu Sze, Batu 10, Skudai
79
JBC 1029
SJK (C) Ban Foo, Kg. Ban Foo
7
JBC 1030
SJK (C) Chien Chi, Jln. Bunga Matahari, Masai
59
JBC 1031
SJK (C) Chee Tong, Kg. Teluk Jawa, Masai
9
JBC 1032
SJK (C) Masai, Jalan Sekolah Masai
118
JBC 1033
SJK (C) Pandan, Jalan Senduduk, Pandan
117
JBC 1035
SJK (C) Tiram, Ulu Tiram
45
JBC 1036
SJK (C) Kempas Baru, Kg. Kempas Baru
21
JBC 1037
SJK (C) Kuo Kuang 2, Batu 8.5, Skudai
24
JBC 1038
SJK (C) Nam Heng, Bandar Sri Alam, Masai
25
JBC 2028
SJK (C) Woon Hwa, Kangkar Pulai
1
JBC 8011
SJK (C) Pulai, Kangkar Pulai
40

Jumlah
1031

Sumber: Unit Maklumat, Jabatan Pendidikan Johor.


Jadual 2: Enrolmen Pelajar Di Negeri Johor Seperti Pada 30 Jun 2000


Jenis Sekolah

Bilangan Sekolah

Bilangan Pelajar
Sekolah Kebangsaan
537
228,350
Sekolah Jenis Keb. Cina
213
109,639

Sumber : Perangkaan Pendidikan Malaysia 2000
Kementerian Pendidikan.



Jadual 3: Keputusan Matematik UPSR Peringkat Kebangsaan 1990-1995.

Tahun
SK ( % )
SJKC (%)
1990
57.3
85.1
1991
60.4
86.6
1992
60.6
86.8
1993
63.1
87.6
1994
64.0
86.3
1995
67.9
87.6
Purata
62.2
86.7

Sumber : Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pendidikan Malaysia









Jadual 4 : Prestasi Mata Pelajaran Matematik Di SK Dan SJKC Dalam
UPSR.
Aliran Pencapaian
SK
SJKC

ABC (%)
DE (%)
ABC (%)
DE (%)
Matematik
75.2 24.8
91.2 8.8

Sumber : Lembaga Peperiksaan 2000
Rancangan Pembangunan Pendidikan 2001- 2010 m.s 41



Berdasarkan analisa terbaru UPSR 2000 menunjukkan prestasi pelajar dalam metematik secara lebih terperinci juga menunjukkan terdapat perbezaan. Berdasarkan jadual 4 dapat dilihat bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina lebih baik peratus pencapaian matematik dalam UPSR berbanding Sekolah Kebangsaan. Pencapaian matematik di atas tahap penguasaan minima (ABC) adalah 91.2 peratus di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina berbanding 75.2 peratus di Sekolah Kebangsaan Justeru sejauhmana peratus pencapaian matematik yang baik dalam UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dapat dihubungkan dengan faktor-faktor tertentu dalam aspek pembelajaran..

Kajian ini akan mengenalpasti faktor-faktor pembelajaran yang mempengaruhi pencapaian matematik di kalangan pelajar Melayu dan Cina yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Ia juga mengkaji penyebab yang menjadikan terdapat perbezaan pencapaian matematik antara kedua-dua etnik dan mengenalpasti elemen-elemen yang boleh diperbaiki.







1.2 Pernyataan Masalah

Masalah jurang perbezaan pencapaian matematik di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan jelas kelihatan dan sering diperbincangkan. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dikatakan memperolehi peratusan pencapaian matematik lebih baik. Justeru lazimnya dikaitkan dengan faktor-faktor pengajaran dan pembelajaran yang diterima.

Kajian ini adalah untuk mengenalpasti aspek pengajaran dan pembelajaran yang mempengaruhi peratus pencapaian matematik di kalangan pelajar Melayu dan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.Kajian ditumpukan kepada faktor luaran dan faktor dalaman.



1.3 Objektif Kajian

i. Mengenalpasti hubungan antara faktor-faktor dalaman iaitu minat, sikap pelajar, persepsi pelajar, aspirasi kerjaya dan faktor-faktor luar iaitu persekitaran sekolah, sikap guru, rakan sebaya dengan pencapaian matematik pelajar-pelajar melayu dan cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
ii. Mengenalpasti faktor-faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian pelajar dalam matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Cadangan kajian ini diharapkan dapat menjawab persoalan-persoalan berikut:
i. Bagaimana hubungan antara faktor-faktor dalaman iaitu minat, sikap pelajar, persepsi pelajar, aspirasi kerjaya dan faktor-faktor luaran iaitu persekitaran sekolah, sikap guru, keluarga dan rakan sebaya dengan pencapaian matematik pelajar-pelajar melayu dan cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
ii. Apakah faktor-faktor utama yang mempengaruhi pencapaian matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.



1.4 Hipotesis Kajian

Hipotesis Umum 1 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara
faktor-faktor dalaman dengan pencapaian matematik.

Ho 1 (a) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara minat
dengan pencapaian matematik.
Ho 1 (b) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara sikap
pelajar dengan pencapaian matematik.
Ho 1 (c) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara pesepsi
pelajar dengan pencapaian matematik.
Ho 1 (d) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara aspirasi
kerjaya dengan pencapaian matematik.

Hipotesis Umum 2 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara
faktor-faktor luaran dengan pencapaian matematik.

Ho 2(a) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara
faktor-faktor luaran dengan pencapaian matematik.
Ho 2 (b) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara
persekitaran sekolah dengan pencapaian matematik.
Ho 2 (c) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara
keluarga dengan pencapaian matematik.
Ho 2 (d) : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara rakan
sebaya dengan pencapaian matematik.




Hipotesis Umum 3: Tidak terdapat perbezaan min markah yang signifikan
antara jantina, ras dan taraf pendidikan ibu bapa.

Ho 3 (a) : Tidak terdapat perbezaan min markah yang signifikan
mengikut jantina.
Ho 3 (b) ; Tidak terdapat perbezaan min markah yang signifikan
mengikut ras.
Ho 3 (c) : Tidak terdapat perbezaan min markah yang signifikan
mengikut pendidikan ibu bapa.

1.5 Kepentingan Kajian

Akhir-akhir ini isu kecenderungan di kalangan ibu bapa menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina banyak diperkatakan. Tanggapan umum memberikan gambaran bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ini adalah lebih baik pencapaiannya berbanding Sekolah Kebangsaan dari segi pencapaian akademik terutamanya matematik.Kajian ini diharapkan dapat mendedahkan apakah sebab-sebab utama yang mempengaruhi pencapaian matematik tersebut.

Walaupun kajian faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik telah banyak dijalankan untuk pelbagai mata pelajaran, tetapi model-model yang diasaskan oleh kebanyakan pengkaji hanya mampu menerangkan sebahagian sahaja faktor-faktor pengajaran dan pembelajaran yang mempengaruhi pencapaian akademik berdasarkan perspektif masing-masing ( Fatanah 1997).

Kajian ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi dapatan – dapatan yang yang lepas tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.Kajian ini juga diharapkan dapat membekalkan maklumat lanjut kepada umum tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian matematik di kalangan pelajar Melayu dan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Melalui maklumat ini, boleh memberikan lebih kefahaman kepada kalangan guru terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran di samping berguna kepada pihak penggubal sistem pendidikan itu sendiri.



1.6 Batasan Dan Skop Kajian

Skop kajian ini adalah untuk melihat faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian matematik di kalangan pelajar Melayu dan Cina . Aspek-aspek yang dikaji adalah meliputi persekitaran seperti keadaan fizikal sekolah, sikap guru dan keluarga di samping aspek dalaman pelajar seperti minat, sikap, persepsi dan aspirasi kerjaya.

Responden dipilih daripada kalangan pelajar tingkatan satu yang pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di sekitar Johor Bahru. Seramai 480 orang pelajar dari sekolah-sekolah sekitar daerah Johor Bahru telah dipilih dalam kajian ini.



1.7 Kerangka Teori

Kerangka teori kajian dibentuk daripada integrasi beberapa pengetahuan yang berasingan bagi tujuan menerangkan atau meramalkan sesuatu fenomena secara sistematik (Wiersma, 1995) di samping memberi garis panduan bagi menjalankan sesuatu penyelidikan. Kerangka teori ini juga boleh digunakan oleh penyelidik bagi mensintesis dan menerangkan hasil sesuatu penyelidikan itu.

Menurut Fatanah (1997) terdapat banyak kajian yang mengemukakan model dan hipotesis tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik, namun ia masih kekurangan kerangka teori yang komprehensif. Model-model yang diasaskan oleh kebanyakan pengkaji hanya menerangkan sebahagian sahaja faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik berdasarkan perspektif masing-masing. Pengkaji yang mementingkan persekitaran hanya menumpukan perhatian kepada pertalian antara konteks pembelajaran dan hasil pembelajaran yang digolongkan sebagai model situationisme.

Endler dan Magnusson, mengemukakan kerangka berasaskan model “trait”. Ia memperakui bahawa faktor persekitaran mempengaruhi tingkah laku,yang lebih menekankan faktor dalaman berbanding faktor luaran.Kajian seterusnya, beliau berdua telah mengemukakan satu rangka teori penyesuaian iaitu menyatakan bahawa pencapaian pelajar adalah hasil daripada interaksi yang kukuh dan berterusan antara ciri personaliti dengan persekitaran keluarga dan persekitaran sekolah. Marjoribanks (1988) pula mengemukakan kerangka teori pencapaian bercorak interaksionisme. Kerangka yang dikemukakan melibatkan hubungan antara kebolehan membaca dengan kebolehan intelek dan sikap terhadap sekolah di kalangan kanak-kanak yang berbeza latar belakang keluarga.

Ketiga-tiga model iaitu model situationisme, model ‘trait’ dan interaksionisme menekankan aspek persekitaran, iaitu faktor luaran dan faktor dalaman terhadap pencapaian pelajar. Boocock (1972) juga telah menggabungkan beberapa faktor individu dan faktor persekitaran yang mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik pelajar.

Berdasarkan model-model tersebut, kajian ini cuba membentuk kerangka teori dengan mengabungkan faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran . Faktor-faktor dalaman tersebut iaitu minat, sikap pelajar, persepsi pelajar dan aspirasi kerjaya dan faktor-faktor luaran iaitu persekitaran sekolah, sikap guru, keluarga dan rakan sebaya yang mempengaruhi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik UPSR.

Rajah 1 menunjukkan kerangka teori yang menggabungkan faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran tersebut yang bertindak sebagai pembolehubah tak bersandar. Anak panah menunjukkan faktor-faktor luaran membantu pelajar membentuk minat, sikap, persepsi dan aspirasi kerjaya pelajar. Seterusnya faktor-faktor dalaman tersebut akan mempengaruhi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik yang bertindak sebagai pembolehubah bersandar. Sejauh manakah hubungan antara pembolehubah-pembolehubah ini terhadap pencapaian matematik akan diuji dengan ujian korelasi Pearson.




Pembolehubah Pembolehubah
Tak Bersandar Bersandar

Faktor Luaran Faktor Dalaman
Persekitaran
Sekolah


Sikap guru


Keluarga


Rakan sebaya
Minat pelajar


Sikap pelajar


Persepsi pelajar


Aspirasi kerjaya


Pencapaian
matematik






Rajah 1 Kerangka Teori Kajian
Sumber : Boocock 1972



1.8 Definisi Istilah

1.8.1 Pencapaian Akademik

Semakin tinggi markah yang diperolehi, semakin hampir seseorang itu mencapai tahap cemerlang (Robiah 1994). Ini bermakna pencapaian seseorang ditentukan oleh markah yang diperolehi. Dalam kajian ini markah telah ditukarkan dalam bentuk gred berdasarkan kepada gred yang diperolehi pelajar tahun enam dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran matematik.


1.8.2 Matematik

Menurut Kamus Dewan (1989), matematik adalah ilmu pengatahuan berkaitan dengan pengiraan atau perhitungan. Dalam kajian ini, matematik yang dimaksudkan adalah matematik di sekolah rendah berdasarkan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).

1.8.3 Pembelajaran

Mengikut Kamus Dewan (1989) pembelajaran adalah cara untuk mendapatkan sesuatu pelajaran. Dalam kajian ini pembelajaran meliputi cara pengajaran yang merujuk kepada faktor luaran dan cara pembelajaran yang merujuk faktor dalaman.


1.8.4 Persekitaran sekolah

Persekitaran adalah sebagai keadaan atau situasi yang mempengaruhi kehidupan seseorang ( Kamus Dewan 1997). Dalam kajian ini persekitaran sekolah bermaksud keadaan di sekolah dari aspek kemudahan fizikal, buku-buku di perpustakaan dan suasana di dalam bilik darjah.


1.8.5 Sikap guru

Sikap ialah perbuatan atau pandangan berdasarkan pada sesuatu pendapat. Guru pula bermaksud sebagai orang yang mengajar, mendidik atau mengasuh (Kamus Dewan 1997). Dalam kajian ini sikap guru merujuk kepada hubungan guru matematik dengan pelajar, penampilan guru dalam bilik darjah dan penyampaian guru dalam pengajarannya.



1.8.6 Keluarga

Keluarga adalah kaum kerabat yang mempunyai hubungan berasaskan keturunan atau perkahwinan (Kamus Dewan 1997). Menurut Mohd. Salleh (1998), keluarga adalah orang yang memainkan peranan terpenting dalam pembentukan tingkah laku, sikap kepercayaan, personaliti dan kemahiran tertentu. Keluarga dalam kajian ini merujuk kepada ibu bapa sebagai orang yang paling hampir dengan pelajar dan memainkan peranan penting terhadap pencapaian matematik pelajar.

1.8.7 Rakan Sebaya

Kelompok sebaya biasanya wujud ketika remaja (Ronald 1976). Remaja mencari kawan baik pada masa ini untuk sama-sama belajar, bermain dan bergaul. Remaja membentuk satu kelompok yang ahli-ahlinya mempunyai gelagat, norma, sikap, nilai dan minat yang sama untuk menjalani aktiviti yang diingini. Dalam kajian ini rakan sebaya ialah orang yang rapat dengan seseorang pelajar, menduduki kelas yang sama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang sama.

1.8.8 Minat

Minat merupakan kecenderungan terhadap sesuatu perkara. Minat wujud apabila individu itu sedar kecenderungan terhadap perkara tersebut (Rohani 1981). Dalam kajian ini minat pelajar diukur melalui tahap kecenderungan pelajar mempelajari matematik.

1.8.9 Sikap Pelajar

Sikap adalah perbuatan yang ditunjukkan atau pandangan yang berdasarkan pada sesuatu pendapat (Kamus Dewan 1997). Dalam kajian ini sikap pelajar bermaksud pandangan pelajar terhadap mata pelajaran matematik.

1.8.10 Persepsi Pelajar

Persepsi pelajar merujuk kepada gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan diri menerusi pancaindera (Kamus Dewan 1997). Ini bermaksud proses individu menerima dan menginterpretasi maklumat tertentu dari persekitaran. Seterusnya pelajar membentuk norma dan nilai dalam diri mereka melalui persepsinya. Dalam kajian ini persepsi pelajar ditentukan dari segi tingkahlaku dan motivasi dirinya terhadap mata pelajaran matematik.

1.8.11 Aspirasi Kerjaya

Aspirasi adalah keinginan yang kuat untuk mencapai (mengadakan sesuatu) cita-cita, manakala kerjaya ialah profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah (Kamus Dewan). Menurut Crites (1969), pemilihan kerjaya individu dipengaruhi oleh budaya, sub budaya, komuniti serta persekitaran. Dalam kajian ini aspirasi kerjaya bermaksud keinginan pelajar menceburi bidang berkaitan sains dan matematik sebagai profesion pelajar pada masa hadapan.
















BAB II



KAJIAN LITERATUR



2.1 Pendahuluan

Bab ini akan membuat sorotan kepada dapatan kajian berkaitan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar sekolah secara umum dan secara khusus dalam mata pelajaran matematik. Dapatan kajian akan dibincangkan mengikut faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran yang tersenarai. Selain itu akan dibincangkan juga tentang teori yang berkaitan.


2.1.1 Teori Interaksionisme

Teori ini menegaskan pentingnya memahami keadaan sosial (masyarakat) dari sudut pandangan individu yang bertindak atau berinteraksi di dalam masyarakat tersebut. Teori ini tidak menumpukan kepada perkara-perkara berstruktur besar seperti negara, ekonomi atau kelas social. Sebaliknya yang dipentingkan ialah interaksi sosial pada setiap hari dan biasa berlaku dalam kehidupan manusia seharian (Rohana 1994). Teori interaksionisme ini dikaitkan dalam kajian ini kerana faktor-faktor yang dikaji adalah berkaitan dengan interaksi sosial manusia pada setiap hari.

Dalam kehidupan seharian, manusia sering berinteraksi dengan ahli-ahli dalam kelompok samada kelompok primer (keluarga dan rakan sebaya) atau kelompok sekunder (sekolah dan media masa). Ahli sosiologi pendidikan menggunakan pendekatan ini untuk melihat hubungan antara kumpulan-kumpulan seperti rakan sebaya, guru dengan murid dan guru dengan gurubesar ke atas sikap, pencapaian, pandangan pelajar tentang nilai, sikap kendiri pelajar, kesannya kepada inspirasi pelajar dan hubungan status sosioekonomi yang berhubung kait dengan pencapaian pelajar (Ballantine 1997).

Teori ini mempunyai dua asas pemerhatian yang penting iaitu pertama mengkaji makna simbolik atau makna yang tersirat secara subjektif. Keduanya melihat bagaimana makna yang simbolik itu digunakan dalam interaksi manusia. Blumer (1969) dipetik daripada (Rohana 1997) memberikan tiga huraian penting mengenai konsep makna iaitu kepentingan memahami makna-makna simbolik mengikut konteks penggunaanya, makna berguna semasa interaksi di mana makna berkenaan menyebabkan hubungan bertambah mesra dan akhir sekali makna adalah sesuatu yang boleh dirundingkan samada diterima atau memberi makna yang sesuai kepada sesuatu perkara.

Menurut Amir (1999) ahli interaksionisme simbolik selalunya fokus kepada hubungan bersemuka dalam konteks kehidupan seharian. Setiap hari manusia terlibat dalam pergaulan dengan orang lain. Hubungan antara sesama manusia ini melibatkan simbol. Simbol-simbol yang digunakan itu membolehkan manusia mempelajari tentang diri sendiri. Apabila berinteraksi dengan orang lain, ahli selalunya mencari ‘petanda-petanda’ jenis tingkah laku dalam konteks hubungan berkenaan. Ahli-ahli dalam kelompok menginterpretasikan simbol-simbol pihak lain seperti apakah kemahuan mereka, apa mereka akan kata dan apa mereka akan buat. Mereka akan menggunakan simbol-simbol dan disesuaikan dengan perlakuan yang berhati-hati.

Oleh itu dalam kehidupan bermasyarakat, interaksi amat diperlukan dan interaksi sesama manusia adalah simbolik. Manusia berinteraksi melalui simbol seperti perkataan dan gerak-geri. Dalam kehidupan, manusia bergantung kepada interaksi iaitu kesan proses kegiatan seseorang kepada gerak balas individu lain terhadapnya dan gerak balas tersebut akan mempengaruhi semula orang yang pertama tadi. Manusia yang diberikan akal fikiran mampu menentukan arah dan cara hidup sendiri, memilih mana yang baik dan yang buruk. Sesuatu perkara yang dilakukan adalah baik mengikut persepsi mereka. Manusia hanyalah menjalankan watak-watak untuk hidup dan mengubah sedikit demi sedikit, apabila perlu dan masa yang sesuai.


2.2.2 Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pencapaian Akademik

Menurut Fatanah (1997), pelbagai teori dan dapatan kajian telah dikemukakan untuk menjelaskan faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Di kalangan ahli psikologi, aspek kognitif, sikap dan motivasi pelajar lebih dipentingkan. Manakala ahli-ahli sosiologi lebih menekankan peranan latar belakang sosioekonomi. Di kalangan ahli psikologi sosial pula, mereka lebih cenderung untuk mengkaji proses mendidik anak. Tidak kurang juga yang mengaitkan faktor guru seperti kelulusan, kaedah pengajaran, faktor pengurusan dan pentadbiran, kemudahan dan insentif guru dan kakitangan, peranan masyarakat dan rakan sebaya.

Wang, Haertel dan Walberg (1990) telah membuat analisis terhadap hasil kajian yang pernah dijalankan dalam tempoh lima puluh tahun lalu berhubung dengan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar di Amerika Syarikat. Mereka menyatakan bahawa aspek sosial dan tingkah laku pelajar sebagi memainkan peranan penting. Pelajar yang tidak berdisplin atau tidak mengikut peraturan kerapkali mempunyai pencapaian akademik yang rendah, manakala para pelajar yang bertingkah laku seperti sewajarnya, lebih cenderung berpencapaian tinggi. Dalam konteks sekolah pula, aspek yang paling mempengaruhi pembelajaran adalah persekitaran dan sokongan keluarga.

Bloom (1981) menyatakan di samping persekitaran rumah, persekitaran sekolah juga memberi kesan ke atas perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Ini kerana di sekolah adalah tempat berlakunya perkembangan bahasa, motivasi dan kaedah belajar.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1992) telah membuat kajian perbandingan ke atas sekolah yang menunjukkan pencapaian yang baik dan kurang baik dalam matematik sekolah rendah. Sebanyak empat buah sekolah telah dipilih dalam setiap negeri di Malaysia yang mewakili dua sekolah baik dan dua sekolah kurang baik, lokasi bandar dan luar bandar untuk kajian ini. Dalam kajian tersebut empat dimensi telah dikaji iaitu pengurusan, guru, murid dan bahan bantu mengajar. Keputusannya didapati ada perbezaan antara kedua-dua jenis sekolah tersebut dari segi pengurusan, pengajaran, murid dan penggunaan bahan mengajar.

Hasil daripada kajian tersebut, satu rumusan kenyataan telah dikeluarkan iaitu walaupun guru di semua sekolah telah menerima latihan yang sama, tetapi pencapaian akademik antara sekolah-sekolah jauh berbeza. Didapati beberapa buah sekolah biasa, khususnya yang terletak di luar bandar telah mencapai prestasi yang baik tahun demi tahun. Perkara ini tidak berlaku secara sendiri tetapi adalah kesan daripada usaha, inovasi dan kereaktifan yang diamalkan oleh semua pihak di sekolah yang baik sehingga membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan ( Pusat Perkembangan Kurikulum 1992). Daripada kajian ini didapati perbezaan yang ketara adalah pengurusan sesebuah sekolah yang boleh menimbulkan persekitaran pembelajaran yang berbeza.

Dalam tinjauan penulisan (Azmi et al. 1995), beliau telah mengemukakan tinjauan oleh Mortimore (1995) terhadap beberapa kajian-kajian mengenai sekolah berkesan. Mortimore mendapati bahawa fokus kajian adalah berbeza-beza antara satu kajian dengan kajian lain dari segi faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar. Para pengkaji seperti Coleman (1966), telah menggunakan kajian tinjauan yang melibatkan sampel yang besar untuk mencari perkaitan antara faktor sosioekonomi pelajar dan faktor sekolah dengan pencapaian pelajar. Secara umum dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa ciri-ciri latar belakang sosioekonomi pelajar amat mempengaruhi pencapaian akademik pelajar manakala faktor sekolah yang diukur dari segi kemudahan material kurang menyumbang kepada pencapaian pelajar. Di Malaysia, kajian terbesar dan paling berpengaruh ialah Kajian Keciciran 1973 yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. Hasil kajian mendapati bahawa kedua-dua faktor latar belakang sosioekonomi pelajar dan juga kemudahan sekolah mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.

Menurut Marimuthu (1975), terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kelemahan pencapaian pelajaran di sekolah adalah disebabkan oleh keadaan kemiskinan dan kekurangan kelengkapan material di rumah. Beliau menambah bahawa kemiskinan sebagai ‘angkubah penghalang’ yang menyebabkan kecacatan dalam kemajuan kanak-kanak.

Menurut Creemers (1994), dipetik daripada (Azmi et al. 1995) mengatakan dengan mengambil kira faktor latar belakang yang di kawal, didapati 12% - 18% perbezaan dalam pencapaian pelajar dapat diterangkan oleh faktor sekolah dan bilik darjah. Ballantine (1997) pula mengatakan faktor minat terhadap mata pelajaran, rakan sebaya, hubungan dengan guru, keadaan persekitaran dan pengalaman yang berbeza (bangsa, jantina dan kelas sosial) adalah antara factor-faktor yang terlibat dalam proses pembelajaran.


2.2.3 Faktor-Faktor Dalaman

Faktor-faktor dalaman yang akan dibincangkan dalam kajian ini ialah minat, sikap pelajar, persepsi pelajar dan aspirasi kerjaya. Abu Zahari (1988), menyatakan bahawa minat dan kecenderungan memainkan peranan dalam mempengaruhi pencapaian pembelajaran individu. Mereka yang berminat akan menunjukkan pencapaian yang tinggi manakala yang tidak berminat akan menunjukkan pencapaian yang rendah. Manja (1990), mendapati pelajar Cina lebih berminat untuk belajar berbanding dengan pelajar Melayu dan India. Pelajar Cina juga didapati lebih cenderung dalam bidang akademik terutama mata pelajaran sains dan matematik. Husen (1967 ) dalam kajiannya mendapati pencapaian mempunyai hubungan yang positif dengan minat pelajar terhadap sains dan metematik.Kajian menunjukkan semakin tinggi minat pelajar maka semakin tinggi prestasi pencapaian mereka dalam mata pelajarn sains dan matematik.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa tidak atau kurang berminat mempelajari matematik bahkan mereka mungkin fobia dengan angka berpunca dari bebrapa faktor seperti tiada atau kurang pendedahan akan kepentingan penguasaan matematik. Anuar (Berita Harian, 1994) mengatakan bahawa usaha bagi menentukan kejayaan pelajar dalam sains dan matematik ialah mengubah sikap dan seterusnya memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut.

Gui Sew Chu (1988) dalam kajiannya berkaitan dengan sikap dan pencapaian dalam matematik telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif di antara sikap, minat dan keyakinan diri dengan pencapaian dalam matematik . Dapatan kajian ini juga menunjukkan faktor keyakinan diri pelajar merupakan pembolehubah yang berkesan terhadap pencapaian matematik.

Dalam kajian lain oleh Adnan (1980) untuk melihat pertalian di antara sikap pelajar terhadap matapelajaran tertentu dan pencapaiannya dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), mendapati terdapat hubungan yang positif. Kajian telah dilakukan terhadap 230 orang pelajar tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kampung Baru, Kuala Lumpur terhadap matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Sains dan Matematik dengan pencapaian mereka dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran.

Muskamal (1991) mendapati bahawa wujudnya hubungan yang signifikan antara persepsi dan minat terhadap sains dan matematik dengan pencapaian sains dan matematik. Begitu juga terdapatnya perbezaan persepsi antara pelajar yang berpencapaian tinggi dengan berpencapaian rendah tetapi tidak ada perbezaan persepsi antara lelaki dan perempuan.

Awang Had Salleh (1986), mengaitkan masalah pencapaian akademik pelajar dengan aspek kendiri pelajar itu sendiri. Kegagalan pelajar dilihat ada kaitan dengan fakta dalam diri pelajar yang dikatakan mempunyai aspirasi dan cita-cita yang sederhana dalam pelajaran dan kerjaya. Di samping itu juga mereka menunjukkan semangat persaingan yang rendah serta kurang mempunyai motivasi untuk belajar.


2.2.4 Faktor Luaran

2.2.4.1 Faktor Guru Dan Sekolah

Strategi pengajaran yang baik ialah memastikan pelajar mengambil bahagian dalam proses pembelajaran. Secara tradisi, budaya sekolah memainkan peranan sebagai ‘pekerja’ kepada guru; guru melakukan segalanya- bercakap, berfikir, bergerak dan sebagainya, manakala pelajar merupakan ‘produk’ guru yang duduk mendengar, menerima dan meluahkan kembali fakta. Secara tradisinya bilik darjah yang baik ialah bilik darjah yang “ guru mengajar dan murid belajar”.

Rosmaria (1995) menegaskan bahawa guru merupakan orang penting yang dapat mempengaruhi minat pelajar terhadap sains dan metematik. Pengetahuan guru dalam mata pelajaran sains dan matematik secara mendalam juga amat penting dalam membantu guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ( Pidgeon 1967).

Goodlad (1984) dipetik daripada (Sharifah 2000) telah memberi gambaran mengenai apa yang diajar di bilik darjah di Amerika Syarikat. Menurut beliau guru dalam bilik darjah lebih menekankan kemahiran asas, memberi tumpuan kepada pembelajaran tahap rendah, kurang menekankan kemahiran berfikir, kurang menggunakan pelbagai penakulan, tidak mengaitkan teori dengan amalan dan guru juga kurang kreatif. Projek yang dijalankan oleh pelajar bukan bertujuan untuk mencabar intelek tetapi untuk mengasah kemahiran asas pelajar. Bilik darjah dikatakan membosankan, pengetahuan yang didapati oleh pelajar sungguh asing daripada pemahaman dan penghayatan mereka sendiri.

Bilik darjah yang membosankan seperti yang digambarkan oleh Goodlad, akan melahirkan pelajar yang mengamalkan budaya mengelak daripada belajar. Sikap ini dipanggil sebagai konspirasi ‘convenience’ iaitu satu konspirasi di kalangan pelajar untuk mengelakkan daripada melakukan kerja akademik yang serius, berterusan dan mencabar. Sikap pelajar terutama kelas lemah menunjukan kadar ponteng sekolah dan ponteng kelas yang tinggi. Alasan yang diberi oleh pelajar ialah tidak menyiapkan kerja sekolah. Ini menunjukkan penglibatan yang rendah dalam pembelajaran (Kamarudin 1994).

Menurut Kamarudin (1994) suasana bilik darjah tidak kurang pentingnya untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bilik darjah yang berkeadaan cerah, berwarna-warni, selesa riang dan seronok sudah tentu akan menghasilkan pembelajaran yang lebih mudah dan kekal jika dibandingkan dengan keadaan yang sebaliknya. Persekitaran fizikal sesebuah bilik darjah merupakan sumber pembelajaran yang utama. Perhatian terhadapnya membolehkan guru meningkatkan keceriaan disamping menghasilkan satu bentuk pengajaran yang lebih berkesan. Suasana emosi lebih penting daripada suasana fizikal, kerana suasana fizikal yang ideal sekalipun tidak dapat mengubah keadaan pembelajaran yang tidak memuaskan sekiranya suasana emosi serba kekurangan.

Suasana emosi adalah gabungan daripada berbagai-bagai perkara, seperti suara guru, sikap dan ekspektasinya, sistem kepercayaannya, kemesraan dan kelucuannya, teknik mengawal bilik darjah, stail kepimpinannya dan kaedah mengajar serta penggunaan pujian. Umpamanya suara guru yang semulajadi terang, tidak tegang dan bercorak perbualan akan menimbulkan suasana bilik darjah yang tenang. Suasana emosi seperti ini sangat sesuai untuk mendapatkan interaksi pelajar dalam pembelajarannya. Kejayaan seseorang pelajar dalam suatu mata pelajaran dikaitkan dengan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan memberi gambaran kepada mutu pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sesuatu sekolah. Antara faktor yang dikenalpasti menjadi punca penurunan prestasi dalam mata pelajaran matematik ialah kelonggaran dan kelemahan metodologi pendidikan dan pengajaran di sekolah.

Menurut Ballantine (1997), proses pengajaran dan pembelajaran yang baik ialah memastikan pelajar mengambil bahagian dalam proses pembelajaran. Kelonggaran dan kerapuhan metodologi pendidikan menyebabkan matematik dikaitkan dengan elemen kesukaran, kebosanan dan pelbagai factor yang menakutkan pelajar. Sulaiman (1995) juga menyatakan pengajaran guru sains dan matematik terikat dengan buku panduan kerja dan kurang menarik, menyebabkan pengajaran guru menjadi kaku dan kurang berkesan. Ini menjadikan pengajaran membosankan dan tidak memotivasikan pelajar.

Persediaan mengajar yang baik dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Untuk menilai aspek persediaan, criteria-kriteria yang merangkumi penyediaan bahan dan alat, kesesuaian bahan pengajaran, persediaan awal guru perlu diambil kira (Nik Aziz Nik Pa 1991). Leong (1990) menyatakan bahawa guru-guru yang selalu memberi ujian, mengadakan kelas tambahan, menggunakan soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun terdahulu dan buku panduan peperiksaan dalam pengajaran akan meningkatkan pencapaian pelajar. Teknik penyampaian yang berkesan daripada seseorang yang berkeinginan tinggi untuk membantu orang lain sudah pasti membawa kesan positif. Pengetahuan guru dalam mata pelajaran sains dan metematik secara mendalam amatlah penting dalam membantu mereka meyakinkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Guru yang mengambil berat akan pelajarnya yang lemah, mampu memberi motivasi kepadanya (Ballantine 1997).

Menurut Abdul Razak dan Rashidi (1997), untuk meningkatkan pencapaian sains dan matematik, adalah dicadangkan supaya para pendidik menentukan pelajar-pelajar mereka sentiasa bermotivasi tinggi dan bersikap positif terhadap pembelajaran mata pelajaran tersebut.

Selain faktor guru, faktor bilik darjah juga memainkan peranan penting dalam membantu pencapaian pelajar. Ballantine (1997) menyatakan bahawa pelajar di bahagian hadapan atau tengah kelas lebih terlibat dengan pembelajarn dan seterusnya baik pencapaiannya. Mereka juga lebih dihargai oleh guru dan rakan, mereka kurang diberi peringatan tentang sebarang arahan. Ini mungkin disebabkan penglibatan mereka dalam pembelajarn adalah menonjol di dalam kelas. Atan Long (1998) menyatakan bahawa keadaan fizikal bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam pengajaran kerana pelajar akan merasa gembira di dalam bilik yang mempunyai suasana yang menyenangkan. Kebersihan bilik darjah juga dapat menambah keberkesanan disamping menjaga kesihatan pelajar dan menambah rasa estatika mereka. Menurut Ballantine (1997) kemudahan dan persekitaran sekolah yang mempunyai suasana yang kondusif untuk belajar boleh meningkatkan pencapaian.

Budaya sekolah pula menggambarkan keadaan masyarakat yang terdapat di sekitar sekolah tersebut dimana, meraka mempunyai nilai, sikap, keyakinan, norma dan adat yang tersendiri yang mungkin berbeza dari sekolah lain

Brookover (1979) merumuskan sistem sosial sekolah (iklim, struktur dan sebagainya) boleh berfungsi seperti satu keluarga atau organisasi sosial yang lain untuk mencapai metlamat tertentu. Jika matlamat sekolah ialah untuk meningkatkan pencapaian pelajar, maka sistem sosial sekolah berkemampuan bergerak ke arah pencapaian matlamat tersebut. Sesetengah pengkaji menegaskan bahawa semua pelajar tidak kira status sosioekonomi boleh belajar dengan berkesan jika sekolah menyediakan iklim sekolah yang merangsang potensi pelajar dan potensi guru sepenuhnya. Iklim pembelajaran yang berkesan boleh diwujudkan apabila guru dapat mengenalpasti tahap hubungan sosial pelajarnya (Kamarudin 1994).

Kajian oleh Mortimore (1988) menegaskan bahawa sekolah lebih berkesan daripada pengaruh keluarga dari segi peningkatan pencapaian. Ia membuktikan bahawa pengaruh sekolah dalam peningkatan matematik pelajar adalah sepuluh kali ganda lebih penting daripada pengaruh keluarga. Kajian ini membuktikan bahawa terdapat kesan sekolah terhadap pencapaian pelajar dalam mata pelajarn tertentu.



2.2.4.2 Faktor Keluarga

Keluarga merupakan agen sosialisasi yang terrpenting kerana keluarga ialah kelompok asas yang pertama bagi kebanyakan individu. Keluarga mempunyai banyak tanggungjawab dalam proses pemindahan budaya terutama yang melibatkan norma dan nilai budaya tersebut. Walaupun keluarga tidak dapat menentukan sepenuhnya perkembangan dan pembentukan peribadi anak-anak mereka, namun dimensi seperti sikap, minat, matlamat, kepercayaan dan prejudis adalah diperolehi daripada ibu bapa atau keluarga (Rohana 1997)

Terdapat ahli sosiologi yang mengatakan bahawa kanak-kanak pada waktu dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis yang bersih. Maka kanak-kanak tersebut akan mempelajari daripada ibu bapa tentang kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau bersenang hati dan ketegangan. Keluarga autoritarian akan membentuk anak bersifat pasif, tiada anasiatif, submisif, tidak mahu bekerjasama dan takut mengeluarkan pendapat. Bagi keluarga ‘laissez-faire’ iaitu ibu bapa yang terlalu berlembut dengan anak-anak, segala kemahuan anak dituruti dan displin diri terlalu longgar, akhirnya boleh membentuk anak-anak yang tidak menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Manakala ibu bapa yang mengamalkan kaedah sederhana dan demokrasi selalu melibatkan anak mereka berbincang dalam menghadapi masalah dalam keluarga. Mereka bersikap lembut tetapi tegas dan banyak memberi bimbingan. Displin anak tidak bergantung kepada kuasa fizikal semata-mata tetapi lebih kepada taakulan. Anak-anak daripada kelaurga ini didapati menunjukkan inisiatif, bersopan santun, yakin kepada kebolehan diri sendiri disamping kebolehan diri sendiri dan menunjukkan sikap yang positif (Rohana 1997).

Peranan keluarga terutama ibu bapa dalam menentukan pencapaian anak-anak tidak dapat dinafikan. Memandangkan masa seseorang pelajar berada di sekolah adalah singkat berbanding di rumah, maka pencapaian pelajar ada bergantung kepada dorongan dan peluang untuk belajar yang disediakan oleh ibu bapa. Angela et.al (2001) berpendapat jika keluarga melibatkan diri mereka dalam pendidikan anak-anak, anak-anak akan memperolehi gred yang lebih baik, hadir ke sekolah lebih kerap, menyiapkan kerja rumah, bersikap positif dan menamatkan pengajian dengan cemerlang. Oleh itu mempertingkatkan penglibatan keluarga dalam pendidikan anak adalah matlamat penting bagi sesebuah sekolah terutama bagi golongan keluarga yang berada pada status sosioekonomi rendah.

Walberg (1985) menyatakan bahawa penglibatan ibu bapa dalam aktiviti akademik anak-anak mereka amatlah penting untuk menjamin pencapaian yang lebih baik dalam sesuatu ujian atau peperiksaan. Rumberger (1983), mengenalpasti ibu bapa yang berpendidikan tinggi akan meluangkan lebih banyak masa untuk anak-anak. Masa yang diluangkan ini digunakan untuk mengajar, memeriksa kerja sekolah di rumah dan menjalankan aktiviti rekreasi. Aktiviti ini akan dapat meningkatkan keupayaan pembelajaran anak-anak.

Faktor taraf pekerjaan ibu bapa dan pendapatan ibu bapa juga turut dikaitkan dengan corak pendidikan dan pencapaian akademik anak (H. Lingxin 1998). Kebiasaannya pelajar yang pencapaian akademiknya baik dikaitkan dengan ibu bapa yang berpendapatan tinggi. Ini kerana ibu bapa menjadi pendorong kepada kejayaan mereka. Gui Sew Chu (1988) dalam kajiannya mendapati bahawa hanya faktor pendapatan bulanan ibu bapa mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas pencapaian akademik pelajar sedangkan faktor-faktor lain seperti saiz keluarga, peringkat pelajaran ibu bapa, minat, sikap ibu bapa terhadap pelajaran dan kemudahan dalam rumah tidak menunjukkan pengaruh yang signifikan.

Coleman dalam teorinya mengatakan tiga komponen persekitaran keluarga ialah “Human capital”, “Financial capital” dan “Social capital” yang boleh mempengaruhi pencapaian pelajar (Raymond 1998). Lebih tinggi status sosioekonomi keluarga pelajar maka lebih tinggi pencapaian akademik pelajar tersebut (Boocock 1972). Mitchell (1998) dalam kajiannya mendapati, walaupun peranan yang dimainkan oleh guru penting namun kedudukan sosioekonomi pelajar merupakan halangan kepada pencapaian akademik. Razali (1985) dalam kajiannya juga menunjukkan pelajar dari taraf sosioekonomi tinggi memperolehi pencapaian akademik yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa ibu bapa memberi sumbangan yang besar terhadap pencapaian akademik. Berdasarkan contoh-contoh yang dikemukakan, jelas menunjukkan wujudnya hubungan antara pencapaian akademik dengan taraf sosioekonomi keluarga.

Flond, Hasley dan Martin (1976) berpendapat peranan ibu bapa merupakan salah satu faktor penyebab kepada kewujudan perbezaan pencapaian akademik pelajar. Ini disokong oleh Fraser (1979) yang mengatakan bahwa darjah kecerdasan dan pencapaian kademik anak-anak berkait dengan peranan ibu bapa terhadap terhadap pelajar terhadap anak-anak.

Menurut Ballantine (1997), penglibatan keluarga dalam mempersiapkan anak-anak mereka ke sekolah mempengaruhi pencapaian dan prestasi merekan di sekolah. Kanak-kanak hadir ke sekolah dengan kurikulum keluarga yang didapati di rumah. Ini akan mempengaruhi pembelajaran dan seterusnya pencapaian mereka di sekolah. Ibu bapa yang terpelajar misalnya akan lebih bersedia untuk memperlengkapkan anak mereka dengan pendidikan. Semakin tinggi penglibatan ibu bapa terhadap persekolahan anak, semakin baik pencapaian anak-anak mereka dalam akademik. Ini menunjukkan ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap aspirasi dan pencapaian akademik anak.






2.2 Rakan Sebaya

Menurut Rohana (1997) rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan terhadap kehidupan. Kesannya remaja cuba menghayati norma, nilai, kod dan segala harapan rakan sebaya supaya disanjung oleh kumpulannya. Remaja merasakan dirinya perlu diterima oleh kumpulan rakan sebaya meskipun kadangkala norma dan nilai tersebut bertentangan dengan norma dan nilai keluarga atau tradisi. Ini akan memcetuskan konflik antara golongan muda dengan golongan tua. Pada masa ini ahli sosiologi berpendapat golongan rakan sebaya inilah yang paling berpengaruh dalam proses sosiolisasi kerana mereka banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan samada di sekolah atau di luar sekolah.

Rakan sebaya juga merupakan satu daripada faktor persekitaran yang mempengaruhi minat dan pencapaian pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Kesan daripada pergaulan dengan pelajar yang mempunyai minat yang tinggi terhadap sesuatu mata pelajaran, menyebabkan seseorang itu turut meminati sama. Sharifah Alawiyah (1985) dalam beberapa kajiannya mendapati bahawa pembentukan kumpulan rakan sebaya lebih membawa kesan terhadap pencapaian dan aspirasi pelajar, jika dibandingkan dengan latar belakang keluarga atau komposisi sekolah. Pengaruh rakan sebaya boleh terjadi secara positif atau negatif mengikut kebolehan kumpulan yang diwakilinya.

Ballantine (1997) menyatakan bahawa pencapaian pelajar boleh ditingkatkan dengan membantu interaksi di kalangan rakan sebaya dan kawan rapat. Bentuk interaksi juga berbeza mengikut keadaan, umpamanya pelajar perempuan interaksi adalah lebih rapat berbanding lelaki. Kumpulan pelajar yang dikelompokkan mengikut kemampuan akan menghadkan variasi dalam berinteraksi. Manakala kumpulan yang mengikut bangsa akan lebih cenderung memilih rakan sesama bangsa sahaja. Kumpulan yang pentingkan gred, kurang mengejar populariti, manakala kumpulan yang popular sering mementingkan kecantikan dan kesasaan seseorang dan kumpulan yang telah kenal lama lebih pentingkan persahabatan dalam aktiviti meraka.


2.2.4.3 Faktor Jantina

Seringkali diperkatakan bahawa pelajar perempuan lebih berkebolehan jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dari segi pencapaian akademik. Perempuan bukan sahaja menguasai sebahagian besar enrolmen di institusi pengajian tinggi, malah komitmen mereka dalam peperiksaan peringkat sekolah juga masih tinggi.Mooney (1994) berpendapat kemungkinan pencapaian yang baik di kalangan pelajar perempuan adalah didorong oleh keperluan untuk mendapatkan pekerjaan yang sebelum ini dimonopoli kaum lelaki. Untuk menentukan mereka dapat merebut peluang yang selama ini diberikan kepada kaum lelaki.

Kajian terhadap pencapaian mengikut jantina dan bidang tertentu juga telah banyak dijalankan (Flynn dan Rahbar 1994). Hasil daripada kajian-kajian ini menunjukkan pelajar daripada jantina yang berbeza berkecenderungan untuk menguasai bidang yang berlainan. Kajian Born dan Lynn (1994), mendapati skor pelajar lelaki adalah lebih tinggi dalam aspek kepintaran umum, lisan dan visual-ruang. Pelajar perempuan skor mereka lebih tinggi dalam daya ingatan dan kepantasan tanggapan. Dapatan ini seterusnya mengukuhkan lagi dapatan Hyde (1981) yang menyatakan bahawa pelajar lelaki lebih berkemampuan dalam visual-ruang, sementara pelajar perempuan didapati lebih berkemampuan dalam membuat tanggapan dan daya ingatan.

Kajian yang dijalankan Maccoby dan Jacklin (1974), menunjukkan bidang kuantitatif dikuasai pelajar lelaki dan bidang lisan dikuasai pelajar perempuan. Sementara Schunk (1984) menyatakan bahawa pelajar lelaki mempunyai efikasi diri yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan dari segi harapan pencapaian mereka. Kajian Flynn dan Rahbar (1994) tentang kegagalan membaca di kalangan kanak-kanak menunjukkan pelajar lelaki lebih ramai tergolong dalam kumpulan “paling tidak cekap membaca” (severely reading disabled). Sejumlah 12.1 peratus pelajar lelaki tahap satu dan 8.5 peratus pelajar perempuan pada tahap yang sama terlibat. Manakala bagi kumpulan “tidak cekap membaca” (reading disabled), peratus bagi kedua-dua jantina adalah hampir sama iaitu 20.3 peratus bagi lelaki dan 18.2 peratus bagi perempuan tahap satu.


2.3 Rumusan

Kehendak pembangunan negara seperti dinyatakan dalam Wawasan 2020, memerlukan masyarakat yang lebih berfikiran saintifik dan juga tenaga manusia yang terlatih dalam bidang sains dan teknologi. Keperluan ini mempertingkatkan lagi permintaan terhadap pendidikan matematik yang lebih baik.

Menurut Spenser (Abu Bakar, 1994) menyatakan bahawa ilmu terpenting adalah ilmu yang dapat menjamin survival individu atau kumpulan. Oleh yang demikian kesedaran tentang kepentingan menguasai ilmu sains dan matematik perlu disemai di kalangan pelajar terutama pada peringakat sekolah rendah. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran di kalangan pelajar adalah perlu terus dilakukan agar dapat meningkatkan pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran matematik.




















BAB III



METODOLOGI KAJIAN


3.1 Pengenalan

Bab ini akan membincangkan secara teratur kaedah kajian ini dijalankan. Ia melibatkan rekabentuk kajian, pembentukan dan pengesahan instrumen, prosedur pengumpulan data dan kaedah penganalisaan data.


3.2 Rekabentuk Kajian

Rekabentuk kajian adalah perancangan struktur dan strategi di dalam kajian yang membolehkan jawapan –jawapan diperolehi bagi sesuatu persoalan kajian ( Kerlinger 1973). Ia meliputi cara menentukan persampelan kajian, instrumen yang digunakan dan menentukan pembolehubah bersandar, tidak bersandar serta pembolehubah kawalan, kaedah penganalisaan data dan akhirnya keputusan yang diperolehi.

Kajian ini adalah satu kajian deskriptif kolerasi. Ia memerihalkan hubungan dan perbezaan di antara pembolehubah-pembolehubah dan mentafsirkan perkaitan dan perbezaan yang wujud (Best dan Kahn, 1998)

Kaedah kajian yang dijalankan adalah berbentuk tinjauan melalui soal selidik. Soal selidik ditadbir oleh pengkaji sendiri dengan mengedarkannya kepada responden untuk dijawab. Kajian ini dilaksanakan secara cross sectional iaitu dengan kajian secara merentas sesuatu situasi tertentu sahaja. Kajian secara cross sectional ini hanya mewakili suatu gambaran pada ketika kajian itu dijalankan (Cooper dan Schindler, 1998)

3.3 Pembolehubah Kajian

Pembolehubah tak bersandar yang dibuat kajian adalah meliputi faktor-faktor yang dikaji iaitu aspek persekitaran meliputi persekitaran sekolah, sikap guru, keluarga dan rakan sebaya. Faktor dalaman pelajar pula termasuk minat pelajar, sikap pelajar, persepsi pelajar dan aspirasi kerjaya. Pembolehubah-pembolehubah tak bersandar lain, dikawal bagi mendapatkan keputusan yang signifikan. Antara kaedah kawalan adalah dengan melakukan persampelan secara teliti, berstrata dan homogenus sifatnya.Persampelan diambil daripada kalangan pelajar-pelajar tahun lima di satu sekolah dalam daerah Johor Bahru. Diandaikan sample yang dipilih datangnya dari latar belakang demografi dan status social ekonomi yang sama.

Pembolehubah bersandar pula adalah pencapaian pelajar dalam matematik berdasarkan Peperiksaan Pertengahan Tahun pelajar tahun 5. Pencapaian matematik digredkan mengikut empat tahap iaitu A (cemerlang), B (Baik), C dan D (Sederhana) dan E (Lemah).


3.4 Persampelan Kajian

Populasi adalah sekumpulan besar individu atau objek yang hendak dikaji. Oleh kerana kesukaran untuk mengkaji keseluruhan populasi maka kaedah persampelan digunakan. Menurut Majid (1998), sampel adalah sekumpulan kecil dari satu populasi yang dipilih dan diambil untuk kajian.

Sebanyak 480 sampel diambil dalam kajian ini. Ia mewakili satu populasi satu daerah Johor Bahru yang dikira berdasarkan kaedah bilangan item yang digunakan sebagai instrumen soal selidik yang digunakan. Bagi kajian berbentuk analisis faktor seperti ini dicadangkan sepuluh sampel bagi setiap item. Oleh kerana terdapat 48 item digunakan dalam instrumen soal selidik kajian, maka bilangan sampel adalah sebanyak 480 orang. Sampel ini adalah dari kalangan pelajar tingkatan satu (1) yang pernah belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina di daerah Johor Bahru.

Pencapaian matematik adalah berdasarkan kepada keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun sekolah berkenaan.


3.5 Instrumen Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan menggunakan maklumat data yang diperolehi daripada soal selidik. Satu set soal selidik yang merangkumi lapan pembolehubah yang dikaji. Ia dipilih daripada model “ Mooney Problem Check List” yang telah diterjemahkan oleh Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dalam kajian ke atas pencapaian matematik tambahan ( Hasim, 1997)


Terdapat tiga bahagian soal selidik yang digunakan untuk mengumpul data seperti berikut:

Bahagian A : Soal selidik mengenai latar belakang responden
Bahagian ini mengandungi maklumat tentang nama sekolah, jantina, alamat tempat tinggal, lokasi tempat tinggal, bangsa dan gred matematik yang diperolehi melalui markah Peperiksaan Pertengahan Tahun peringkat sekolah.

Bahagian B : Soal selidik mengenai latar belakang keluarga
Bahagian ini mengandungi maklumat-maklumat tentang pekerjaan, pendapatan dan tahap pendidikan ibu bapa/penjaga.

Bahagian C : Soal selidik mengenai responden dan matematik.
Bahagian ini mengandungi maklumat tentang responden mengenai minat, sikap, persepsi, aspirasi, sikap guru dan rakan sebaya.

Setiap pembolehubah disertakan dengan enam item soalan, tiga bersifat positif dan tiga bersifat negatif yang disusun secara berselang seli.(Rujuk jadual 5``) Untuk mempastikan item-item yang digunakan mempunyai kebolehpercayaan tinggi, analisis statistik alpha Cronbach digunakan. Nilai koefisien korelasi yang tinggi, menunjukkan item tersebut mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.

Soal selidik ini menggunakan Model Skala Likert yang mengandungi lima peringkat. Responden dikehendaki menyatakan persetujuan terhadap kenyataan yang dinyatakan mengikut tahap berikut:
1 = Sangat tidak setuju
2 = Tidak setuju
3 = Tidak pasti
4 = Setuju
5 = Sangat setuju

Jadual 5: Pembahagian Item Soal selidik


Pembahagian Item

No. Soalan Positif

No. Soalan Negatif
Minat
1,3,5
2,4,6
Sikap
7,9,11
8,10,12
Persepsi
13,15,17
14,16,18
Persekitaran sekolah
19,21,23
20,22,24
Sikap guru
25,27,29
26,28,30
Keluarga
31,33,35
32,34,36
Rakan sebaya
37,39,41
38,40,42
Aspirasi kerjaya
43,45,47
44,46,48

3.6 Prosedur Kajian

Sebelum kajian dijalankan, penyelidik akan mendapatkan kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Seterusnya penyelidik memohon kebenaran daripada Pengarah Pendidikan Johor dan juga Pegawai Pendidikan Daerah .

Setelah mendapat kebenaran penyelidik membuat pemerhatian di beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina bagi mendapatkan gambaran awal tentang keadaan sekolah. Seterusnya penyelidik mengedarkan sendiri borang soal selidik kepada responden melalui pihak pentadbir sekolah.

Penerangan ringkas diberikan terlebih dahulu mengenai tujuan penyelidikan, kandungan soal selidik dan cara memberikan maklum balas terhadap item-item soal selidik.Perkara ini penting kerana responden yang dipilih adalah dari kalangan pelajar sekolah rendah yang mempunyai tahap intelek yang agak rendah.


3.7 Penganalisaan Data

Soal selidik yang telah lengkap akan dikumpulkan, disemak dan disusun mengikut nombor sampel responden. Proses pengkodan dijalankan untuk memudahkan data diproses. Data yang diperolehi akan dianalisa dengan menggunakan perisian Statistical Pakage For Sosial Science (SPSS) For Window Release 7.5.

SPSS adalah satu perisisn komputer yang disusun khas untuk menganalisa maklumat daripada tinjauan sains sosial. Kaedah SPSS ini boleh digunakan untuk membuat pengiraan tentang min, sisihan piawai, varian dan pelbagai ujian seperti regreasi, ujian-t dan anova. Perisian SPSS terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu:

i. Takrifan data
Ia mentakrif maklumat yang terdapat dalam instrumen yang digunakan umpamanya tajuk kajian dan senarai pembolehubah.

ii. Takrifan tugas
Ia melakukan tugas transformasi ke atas maklumat asal untuk tujuan penganalisaan seperti membuat perkiraan tentang min, varian, sisihan piawai dan ralat piawai. Semua ini dilakuakan dengan prosedur CONDERSCRIPTIVE yang memerihalkan sesuatu populasi secara deskriptif berdasarkan data sampel.





Proses penganalisaan data melibatkan dua jenis analisa iaitu:

i. Analisa deskriptif

Melibatkan penghuraian secara menyeluruh tentang profil responden kajian yang bertujuan memberi gambaran awal tentang responden.

ii. Analisa inferensi
Dijalankan untuk melihat perkaitan yang wujud diantara dua jenis pembolehubah yang dikaji iaitu pembolehubah bersandar dengan pembolehubah tak bersandar. Antara ujian yang terlibat adalah Korelasi Pearson, Analisis Regreasi, Ujian-t, dan Anova Satu Hala.


Ujian Korelasi Pearson
Menunjukan perhubungan antara dua pembolehubah seperti minat, sikap, persepsi,persekitaran sekolah dan lain-lainnya dengan pencapaian matematik.

Analisis Regreasi

Menentukan pertalian secara linear antara beberapa pembolehubah tak bersandar dengan pembolehubah bersandar dan seterusnya membuat ramalan.Ujian Regreasi pelbagai dibuat untuk melihat faktor yang manakah menyumbang atau mempengaruhi pencapaian pelajar.



Ujian-t

Digunakan untuk melihat samada terdapat perbezaan min gred markah antara dua kumpulan pelajar mengikut ras.

Ujian Anova Satu Hala
Untuk menguji skor min antara tiga atau lebih kumpulan secara serentak seperti ras, SSE dan taraf pendidikan ibu bapa/ penjaga.

Monday, February 15, 2010