Tuesday, September 8, 2009

UNTUK ILMU DAN RENUNGAN

Teori Perubahan Dien Islam

Dien Islam, bukanlah sekadar ‘agama’ yang difahami oleh kebanyakan orang, malahan ia mencakupi segenap kehidupan manusia. Islam bukan hanya mengatur hubungan manusia dengan Allah, tetapi juga hubungan manusia dengan manusia lain. Banyak nas dalam al-Quran yang menjelaskan tentang perkara ini, umpamanya ,
Firman Allah:
“ Ditimpakan kepada mereka kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan mereka kembali dengan mendapat murka dari Allah dan ditimpakan kepada mereka kelemahan.”
( al-Imran : 112 )

Hubungan manusia dengan Allah dipolarkan dengan dien Islam, melalui al-Quran dan hadis yang diungkapkan dengan ‘agama’ dan hubungan manusia dengan manusia pula dipolarkan dengan kebudayaan. Dien Islam itu sendiri dalam bahasa arab,terbentuk dari kata ‘madienah’, iaitu masyarakat yang terorganisasi secara teratur.(Sidi Gazalba, 1983)

Di dalam kebudayaan Islam, agama bukan ‘culture universal’.Iaitu sesuatu yang terasing daripada bidang-bidang lain seperti sosial,ekonomi,politik,ilmu teknik dan falsafah. Jelas di sini bahawa Islam berlawanan dengan teori ilmu sekularisme, di mana ia memasukkan agama sebagai aspek kebudayaan. Dalam Islam, agama dan kebudayaan terjalin secara utuh dalam dien. Dien Islam adalah hukum yang mengatur agama dan kebudayaan.


Pertentangan Konsep Islam Dan Sekular Tentang Kebudayaan Dan Agama

Sekularisme, menumpukan kepada matlamat dunia. Ia merupakan satu bentuk aliran fahaman yang menumpukan segala-gala kepada dunia. Soal dunia diatur oleh budaya, manakala akhirat pula diurus oleh agama. Ianya adalah disebabkan oleh prinsip-prinsip yang dibentuk adalah berdasarkan akal manusia dan tentunya berubah serta bertukar-ganti mengikut keadaan dan keperluan. Begitu juga seterusnya tentang sosiobudaya iaitu pergaulan dan perhubungan manusia dalam kelompok manusia, menurut sekularisme adalah merdeka sepenuhnya. Semua diserahkan kepada pertimbangan akal. Dalam pendekatan ini tidak ada yang tetap sebagai pegangan dan asas tujuan.

Islam melihat agama dan kebudayaan adalah satu, meskipun ia dapat dibezakan. Ini disebabkan semua aktiviti, hubungan manusia dengan manusia, mestilah dikaitkan kerana Allah. Perhubungan manusia dalam kelompok yang diistilahkan sebagai sosial atau mu’amalat juga tidak terpisah dari dien Islam. Hinggakan sesetengah sarjana memberikan pentafsiran tentang kebudayaan sebagai tamadun, dan tamadun itu sendiri adalah dien Islam sebagai satu cara hidup. Jelasnya kebudayaan Islam itu sendiri mewajibkan manusia menjaga hubungan di antaranya. Hubungan antara manusia itu adalah berdasarkan prinsip-prinsip kebudayaan yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis.


Model Perubahan Sosiobudaya

Berdasarkan model yang dibentuk, memberikan gambaran bahawa dien Islam itu merangkumi segenap aktiviti manusia, bukan sekadar hubungan dengan Tuhan, sebagaimana yang difahami oleh agama-agama lain. Ia mengatur hubungan manusia dalam masyarakat tanpa ada pemisahan hubungannya dengan Allah. Kelompok masyarakat yang wujud berasaskan daripada gabungan unit-unit keluarga dalam masyarakat. Seterusnya unit-unit keluarga ini pula dibentuk oleh manusia yang mampu mencorakkan sesuatu masyarakat.

Corak masyarakat yang dibentuk, terjelma berdasarkan ilmu yang ada pada manusia yang membentuk unit-unit keluarga tadi. Samada masyarakat tadi bersifat ‘sekular’ atau masyarakat madani sebagaimana yang dikehendaki.Oleh sebab itu untuk membentuk masyarakat madani, perlu dibentuk dahulu manusia madani. Manusia madani adalah manusia yang menghayati semangat tolong-menolong dan saling bekerjasama bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kepentingan dan kebaikan bersama. Kebaikan bersama yang lebih tinggi nilainya iaitu kebahagiaan sejati, iaitu di dunia dan di akhirat. Dalam membentuk masyarakat madani inilah perlu kepada ilmu madani. Ilmu madani itu sendiri berbalik kepada ajaran agama.

Pembangunan Manusia Secara Bersepadu

Dalam usaha membentuk masyarakat madani seperti yang dikehendaki, maka perlu kepada usaha membangunkan manusia sebagai elemen utama kepada perubahan dalam masyarakat. Pembangunan bukan sekadar jasmani atau fizikal sahaja malahan ia bertitik-tolak daripada konsep manusia itu sendiri sebagai kesatuan roh, akal dan jasad. Kesucian rohani berperanan memimpin perkembangan peribadi manusia seluruhnya.

Pembangunan manusia secara sepadu ini juga, berasaskan kepada kekuasaan Allah yang meliputi semua aspek kehidupan manusia dan masyarakat, sehingga tiada ruang untuk pemisahan kuasa seperti fahaman sekular. Pembentukan peribadi manusia, hendaklah berdasarkan prinsip bahawa setiap aktiviti yang dilakukan merupakan menifestasi pengabdian terhadap Allah. Beriman dan bertaqwa kepada Allah menjadi dasar pembangunan diri dan masyarakat yang terpenting sehingga ia mencorak dan memberi arah kepada segala perkembangan dan perubahan dalam masyarakat. Ia menjadi suatu kekuatan dalam masyarakat yang boleh menghalang sebarang kecenderungan kepada anti-kesopanan atau kemoralan. Pengasingan pembangunan kebendaan dari iman dan taqwa akan menyukarkan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan dalam bersosial.


Islamisasi Ilmu Dalam Pendidikan Di Malaysia

Sejarah menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia mengalami perubahan mengikut masa dan keadaan. Menurut Tajul Ariffin (1990), konsep matlamat pendidikan banyak dirujuk dari barat yang menyentuh aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Walaupun ketiga-tiga aspek ini adalah baik, tetapi ia adalah bersifat ilmu akal sahaja. Akal semata-mata tanpa berpaksikan wahyu tidak mampu menjelmakan nilai, moral dan akhlak yang dikehendaki. Individu tersebut mungkin berjaya tetapi belum tentu ia akan berfungsi sebagai insan yang baik.

Mulai dari awal tahun 1980-an perubahan telah dibuat pada kurikulum persekolahan. Di peringkat sekolah rendah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah digubal untuk menggantikan Kurikulum Lama Sekolah Rendah(KLSR). Sebagai kesinambuangan kepada KBSR, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) telah digubal dan mulai dilaksanakan pada tahun 1988 secara berperingkat-peringkat.

Pelaksanaan KBSM merupakan strategi kurikulum untuk merealisasikan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Pokok dasar kepada KBSM adalah konsep bersepadu.Kesepaduan dalam KBSM dianggap belum lengkap kerana ada satu lagi elemen penting yang berperanan dalam pendidikan iaitu masyarakat. Sekolah adalah sebahagian daripada masyarakat dan bukan terpisah atau terpencil daripadanya.

Jelaslah bahawa KBSM bukan sekadar pendidikan biasa tetapi lebih daripada itu, ia adalah agenda bagi membina satu budaya dan cara hidup yang unggul dalam mana manusia yang unggul, yang seimbang dan harmonis akan menjadi penghuni dunia ini.(Wan Zahid Mohd. Noordin, 1993)

Memandangkan betapa pentingnya pendidikan dalam menentukan corak masyarakat masa depan, maka tujuan mewujudkan masyarakat bermoral dan masyarakat yang mengamalkan ajaran-ajaran agama hendaklah diberi keutamaan, tanpa menjejaskan matlamat perpaduan negara dan pengisian keperluan guna tenaga manusia.

Sehubungan dengan itu terdapat usaha yang dilakukan agar ilmu yang diberikan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan sumber tenaga negara, malahan dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada semua orang Oleh itu satu saranan diberikan oleh Prof. Ismail Faruqi (1994), tentang perlunya Islamisasi ilmu. Oleh itu beliau mencadangkan beberapa perkara bagi dipertimbangkan dalam proses Isalamisasi ilmu iaitu:
i. Melakukan koreksi dengan membetulkan fakta, konsep atau teori yang terdapat dalam ilmu pengetahuan moden.
ii. Melakukan proses orientasi iaitu tindakan menyerap atau memasukkan ‘visi’ Islam ke dalam ilmu pengetahuan tersebut.
iii. Melakukan rekonsiliasi iaitu tindakan untuk menyelaras ilmu-ilmu tersebut dengan ilmu agama, dan
iv. Melakukan integrasi iaitu tindakan untuk menyepadukan agar kedua-dua jenis ilmu berpadu menjadi satu kesatuan dengan berpaksikan tawhid.

Selari dengan saranan ini, satu tindakan hendaklah dilakukan dengan membetulkan ‘ status’ mata pelajaran Pendidikan Islam itu sendiri agar dapat dijadikan teras dan tunjang dalam kurikulum, sebagai ad-dien serta berintegrasi dengan ilmu-ilmu lain.


Kesimpulan

Islam sebagai dien, diturunkan oleh Allah bagi memberi panduan tentang hubungan manusia sesama manusia dan manusia denganNya. Segala prinsip, norma dan nilai telah ditentukan oleh Allah dan tidak pernah berubah. Dalam sosiobudaya Islam yang berubah adalah pelaksanaan.Pada agama inilah dikaitkan dasar bagi pegangan hidup. Meskipun aspek sosial, ekonomi, ilmu dan sebagainya berubah, namun seseorang Islam itu semestinya masih berpegang kepada tujuan hidup yang pasti iaitu kebahagian di akhirat.

Islam mampu mengarah dan mengawal perubahan sosiobudaya, kerana ia memberikan prinsip dan asas kebudayaan dan menentukan arah perubahan masyarakat.Prinsip, asas dan arah adalah bersifat tetap, sedangkan perubahan sosiobudaya terus berlaku dan dilaksanakan oleh akal dalam pola yang digariskan oleh agama.

Manusia, sebagai elemen terpenting dalam perubahan sosiobudaya, berkehendakkan ilmu bagi mempertabatkan dan memperkuat diri. Namun tidak semua perkara dapat diselesaikan oleh manusia berdasarkan ilmu yang ada. Oleh sebab itu pergantungan kepada Yang Maha Tahu dan Maha Kuasa perlu dilakukan. Semuanya dikembalikan kepada Yang Maha Esa iaitu Allah. Dengan cara ini manusia sedar bahawa segala yang dilakukan di dunia, hanyalah bersifat sementara dan akhiratlah matlamat akhir yang kekal. Segala yang bersifat duniawi tidak mutlak dan tidak mengandungi kebenaran yang hakiki. Apa pun perubahan yang terjadi di dunia, ia mengarah kepada kehidupan yang kekal di akhirat.