Wednesday, February 17, 2010

KONSEP MORALITI DALAM ISLAM

Konsep moraliti dalam Islam adalah bertitik-tolak daripada kejadian manusia sebagai ciptaan Allah. Ia mempunyai peranan dan tanggungjawab terhadap Allah dan sesama makhluk ciptaanNya, bagi tujuan memakmurkan alam ini.

Dengan adanya rasa tanggungjawab, melaksanakan kewajipan terhadap Allah dalam setiap perlakuan inilah yang memberikan kelebihan tersendiri terhadap moraliti dalam Islam. Ini dapat menghindarkan seseorang itu daripada melakukan dosa dan seterusnya menuju jalan kebaikan.

Tindakan bermoral dalam Islam adalah hasil daripada didikan al-Quran yang ditunjukkan dalam kehidupan rasul. Tindakan baik atau buruk telah ditetapkan oleh Allah. Hal ini diakui sendiri oleh sarjana barat, Anderson (1959) di mana setiap muslim mempunyai kualiti etika dalam setiap tindakannya samada qubhi atau hasn iaitu sesuatu yang buruk atau baik. Kesemua ini ditentukan oleh wahyu Allah, bukannya diterima daripada alasan akal manusia semata-mata.

Tindakan , samada baik atau buruk adalah bergantung kepada motif atau niat. Ini dikaitkan dengan penentuan ganjaran dan balasan yang akan diperolehi di hari akhirat kelak. Moral Islam mengambilkira apa yang tersirat di dalam hati seseorang yang berhubungkait dengan niat. Sebagaimana hadis,
“ Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang apa yang ia niatkan, maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasulnya dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwini, maka hijrahnya kepada apa yang ia hijrah kepadanya itu”
( Riwayat Bukhari, Muslim)

Dalam Islam, tingkahlaku adalah perlu bertunjangkan kepada taqwa. Taqwa adalah penting dalam menentukan nilai perbuatan seseorang. Sebagaimana firman Allah,
“Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu mengenal satu dengan lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah ialah yang lebih bertaqwa (memelihara diri daripada kejahatan). Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Mengerti.
(Al-Hujurat : 13)

Pembentukan tingkahlaku dalam Islam, merujuk kepada 5 asas rukun Islam iaitu Iman (kalimah syahadah), solat, puasa, zakat dan haji. Pelaksanaan rukun Islam ini memberikan impak dalam usaha mensucikan jiwa. Seterusnya mendidik keinginan nafsu ke arah yang dikehendaki Islam. Sehubungan dengan itu, penulis menggariskan 2 kaedah bagi menghindarkan diri daripada sumber-sumber dosa, antaranya,

i. pendidikan moral
ii. pensucian jiwa


Pendidikan moral dalam Islam adalah menuju kepada pembangunan tingkahlaku yang menghindarkan diri daripada perkara yang tidak baik. Amalan tingkahlaku adalah berdasarkan arahan yang terkandung di dalam al-Quran yang telah dicontohkan oleh rasul. Jelas sekali bahawa tiada teori moral, melainkan Islam itu sendiri dilihat telah lengkap dan sempurna.

Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap, mencakupi segenap bidang kehidupan. Ianya dikawal oleh undang-undang Allah. Kehidupan Islam mementingkan kepada kesederhanaan, sebagaimana firman Allah,
“Begitulah, Kami jadikan kamu umat pertengahan, supaya kamu menjadi pemberi keterangan kepada manusia, dan rasulnya menjadi saksi kepada kamu”
(Al-Baqarah : 143)

Schacht, dalam bukunya An Introduction to Islamic Law, melihat undang-undang Islam adalah sesuatu yang sistematik dan saling berkait di antara satu dengan lain. Keseluruhan undang-undang diawasi oleh agama dan pertimbangan etika, seterusnya dapat mengawal keinginan nafsu yang tidak terbatas dan mementingkan kesederhanaan.


Nilai Moral Dan Sistem Sosial Islam

Sistem sosial Islam, menekankan kepada keadaan semulajadi masyarakat yang dibentuk berdasarkan undang-undang Allah untuk tujuan mewujudkan keharmonian dan keamanan di akhirat. Islam sebagai ‘agama’ yang universal, dimana setiap muslim adalah sentiasa saling berinteraksi di antara sesama mereka. Sebagaimana hadis ,
“Manusia, antara satu dengan lain adalah seumpama satu badan, jika satu bahagian berasa sakit, maka keseluruhan badan juga akan lemah dan berasa sakit”

Bagi mengetahui nilai moral dalam sistem sosial Islam, dipertimbangkan dua bidang utama iaitu bidang ekonomi dan politik.

Sistem ekonomi Islam adalah berasaskan wahyu Allah melalui al-Quran dan sunnah. Ianya berkehendakkan keadilan dalam pengagihan kekayaan. Prinsipnya bahawa Allah adalah maha pencipta dan pemilik segala sesuatu termasuklah segala kekayaan. Manusia hanyalah sebagai pengurus amanah milik Allah. Oleh sebab itu nikmat kekayaan yang Allah kurniakan hendaklah digunakan untuk tujuan yang berfaedah.

Jika seseorang mempunyai harta kekayaan yang lebih selepas dibelanjakan di dalam perkara-perkara harus, maka ia boleh memiliki, samada hendak terus disimpan atau dilaburkan ke bidang-bidang lain. Di sini Islam meletakkan sempadan-sempadan dengan menetapkan pembayaran zakat sekiranya cukup syarat-syaratnya.



Sementara sistem politik Islam berkait dengan bentuk organisasi dan pentadbiran negara. Negara Islam adalah negara yang menjadikan Islam sebagai amalan cara hidup. Ketua bagi negara Islam pula hendaklah di kalangan mereka yang mampu melaksanakan undang-undang Allah. Mengikut penulis, Islam adalah kedua-duanya iaitu agama dan negara. Ia bukan sahaja melibatkan di antara pencipta dan yang dicipta, tetapi di antara sesama manusia. Jelas sekali bahawa dalam Islam membangun personaliti adalah penting bagi menjamin kualiti masyarakat. Tegasnya individu adalah untuk masyarakat dan masyarakat untuk individu.

Keistimewaan Falsafah Moral Islam

Secara falsafah moralnya, Islam dilihat sebagai satu ‘agama’ yang bersifat universal pada sebarang masa. Ianya bersumberkan kepada al-Quran dan sunnah. Menekankan kepada pembangunan yang seimbang diantara jasad dan roh bagi melahirkan kehidupan yang sejahtera di akhirat kelak.

Kesejahteraan dan kebahagiaan di dalam Islam, bukannya dinilai dengan harta-benda yang dapat memenuhi hawa nafsu semata-mata. Setiap nikmat yang dikurniakan Allah perlu dipergunakan dan disempurnakan hak-haknya. Sebagaimana firman Allah,

“Dan carilah dengan apa yang diberikan Allah kepada kamu(keselamatan) kampung akhirat, jangan kamu lupa bahagian kamu di dunia ini, buatlah kebaikan sebagaimana Allah telah berbuat kebaikan kepada kamu dan janganlah kamu membuat bencana di muka bumi; sesungguhnya Allah tiada mencintai orang-orang yang membuat bencana.”
(Al-Qashash : 77)

Allah yang Maha berkuasa terhadap semua makhluk termasuklah manusia, telah menentukan kada’ dan kadarnya. Persoalan tombul, tentang bagaimana seseorang itu boleh dipertanggungjawabkan terhadap tindakan, sedangkan ia telah ditentukan Allah?. Sehubungan dengan itu timbullah dua golongan ekstrem iaitu dikenali sebagai Jabariyya yang berserah bulat-bulat kepada Allah dan manusia tidak mempunyai kuasa. Sedangkan golongan Qadriyya pula menganggap manusia berkuasa penuh menentukan segala tindakannya. Daripada dua ekstrem tersebut maka lahirlah golongan ‘pertengahan’ yang dikenali sebagai ahli sunnah wal jamaah, yang menjadi ikutan majoriti umat Islam masakini.

Al-Quran menjelaskan bahawa manusia yang diberikan oleh Allah aqal boleh memilih perbuatan hendak dilakukan. Setiap tindakan yang dilakukan itu tidak terlepas daripada konsep dosa dan pahala yang akhirnya diberikan pembalasan oleh Allah di akhirat kelak. Sebagaimana firman Allah,

“Kalau kamu ingkar (kepada Allah) sesungguhnya Allah itu tiada mempunyai keperluan kepadamu. Tuhan tiada menyukai sifat tidak tahu berterima kasih dari hamba-hambaNya. Dan kalau kamu tahu berterima kasih, Tuhan itu akan suka kepadamu. Dan seseorang pemikul beban tiadalah akan memikul beban orang lain. Kemudian tempat kembali kamu kepada Tuhan, lalu diberitakanNya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mengetahui isi hati”
( Az-Zumar : 7 )

Sehubungan dengan makna ‘predestination’ Rasulullah telah menjelaskan dalam bentuk nasihat tentang tindakan yang betul, perlu dilakukan, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah,

“Sesiapa yang memberi (untuk kebaikan) dan memelihara dirinya dari kejahatan, dan membenarkan (mempercayai) yang baik, Kami akan memudahkan kepadanya menempuh (jalan) yang mudah. Tetapi orang yang kikir dan merasa dirinya serba cukup, dan mendustakan yang baik. Kami akan memudahkan kepadanya menempuh (jalan) kesulitan”.
( Al-Lail : 5-10 )

Jelas menunjukkan bahawa, seseorang itu dapat menempuh jalan mudah, sekiranya ia beriman dan melakukan perkara yang baik. Sebaliknya berlaku sekiranya seseorang melakukan perkara-perkara yang buruk.


Kesimpulan

Setelah dibincangkan tentang konsep moral dalam Islam, jelas bahawa ianya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri antaranya:

i. Al-Quran dan Sunnah Sumber Moral.
Kedua-dua dasar inilah yang menjadi landasan dan sumber ajaran Islam secara keseluruhan sebagai pola hidup dan menetapkan mana yang baik dan mana yang buruk.

ii. Kedudukan Akal dan Naluri
Akal dan naluri adalah anugerah Allah, ia bersifat terbatas. Akal masih perlu bimbingan dan petunjuk dari sumber kebenaran yang mutlak iaitu al-Quran.

iii. Motivasi Iman
Iman yang tersemat di dalam jiwa akan menjadi pendorong yang kuat untuk melakukan amal perbuatan yang baik.

iv. Ikhlas Niat
Setiap perbuatan perlu disertai dengan niat semata-mata kerana mencari keredaan Allah. Sesuai dengan pola hidup yang diajarkan oleh Islam, bahawa seluruh kegiatan hidup semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya.

Bibliografi


Anderson, J.N.D., Islamic Law in the Modern World, London, 1959.

Muslehuddin, M., Morality It Concept And Role In Islamic Order, Lahore, 1978.

Hamzah Ya’qub, Etika Islam, Pembinaan Akhlaqulkarimah, Suatu Pengantar, Bandung, 1983.

Schacht, J., An Introduction to Islamic Law, Oxford, 1964.

Al-Quran terjemahan.

No comments:

Post a Comment