Wednesday, February 17, 2010

TABII MANUSIA

Pendahuluan

Manusia adalah nadi pembangunan, sesuatu pembangunan tidak bermakna sekiranya ia gagal menghasilkan suatu keadaan yang baik samada dari segi material ataupun kerohanian.Oleh sebab itu Islam melihat pemahaman terhadap manusia penting dalam merangka strategi pembangunan. Ia meliputi persoalan tentang tabii manusia seperti fungsi manusia, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban terhadap seseorang, kemahuan dan keperluan, hubungan terhadap alam sekitar dan kelakuan sosial dan politik.

Tabii Manusia
Terdapat tiga aliran pemikiran berkaitan dengan tabii manusia. Pertama, ia berdasarkan persoalan moral yang berakar umbi daripada kebebasan rohaniah.Pendapat ini menegaskan bahawa cara mengubah seseorang adalah dengan cara menyucikan hati, seterusnya ia akan dapat mengubah institusi dan lingkungannya.

Aliran pemikiran kedua ini berpendapat bahawa manusia dicipta oleh kuasa luaran di sekelilingnya. Oleh itu persekitaran perlu diubah terlebih dahulu. Seterusnya aliran pemikiran yang ketiga melihat kepada satu alternatif iaitu setiap tindakan adalah interaksi antara tabii manusia dan alam sekitar. Kemajuan manusia berkembang dengan dua cara iaitu kebebasan diperolehi dengan interaksi yang mengekalkan alam sekitar untuk kehendak dan pilihan manusia untuk sesuatu.

Menurut pendangan Islam , manusia dijadikan oleh Allah berdasarkan syariat Islam. Dalam al-Quran, dinyatakan tentang manusia sebagai makhluk yang bermoral, mampu membezakan di antara yang baik dan buruk serta bebas memilih dengan bantuan dan petunjuk Allah. Sebagaimana firman Allah:

‘Dan jiwa serta penyempurnaanNya (ciptaan Allah) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwa itu, dan rugilah orang yang mengotorinya.’
( Al-Quran, 91: 7-10)

Jenis Manusia

Tokoh-tokoh Islam mengelaskan manusia kepada tiga kumpulan. Pertama, merangkumi manusia yang hidup untuk keduniaan dan keseronokan, termasuklah mereka yang berfahaman materiallistik, ateis, tidak mempercayai hari akhirat dan bergantung kepada kenyataan yang dapat dilihat dan dirasai.

Golongan kedua ini adalah manusia yang keliru dan kabur tentang kewujudan mereka. Walaupun golongan oni percaya Tuhan dan hari Akhirat tetapi mereka telah mengasingkan amalan agama daripada kehidupan seharian. Golongan mereka ini merupakan golongan majoriti manusia.

Golongan ketiga termasuk mereka yang menerima kehidupan dunia sebagai penyambung hari Akhirat. Mereka menerima intisari dan makna kehidupan di dunia dan juga Akhirat serta berhubung rapat di antara keduanya. Golongan ini meliputi orang mukmin. Hal ini diterangkan dengan jelas dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah:

‘Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada mainan dan senda-gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?’
(Al-Quran. 6:32)

Jelas Islam menggalakkan manusia memperbaiki dan memperbaharui setiap aspek kehidupan, serta memberi sumbangan kepada tamadun manusia. Oleh sebab itu setiap aktiviti yang dijalankan perlulah berpandukan etika dan moral, memenuhi dua syarat iaitu tidak merugikan manusia malahan memberi manfaat kepada mausia.

Setiap umat Islam diharapkan dapat memahami tentang beberapa perkara pokok dalam menjalani kehidupan iaitu
i. tujuan manusia dijadikan di dunia
ii. hubungan antara nilai kehidupan dunia dan Akhirat
iii. kematian yang pasti berlaku
iv. intisari ilmu di dalam Islam
v. intisari jahiliah

Andaian Islam Tentang Manusia

Berdasarkan perbincangan tentang tabii manusia, maka dapat dibuat andaian tentang manusia seperti kekuatan dan kelemahan, motivasi, keinginan, hak dan tanggungjawab serta hubungannya dengan pekerjaan.

Pertama, pekerjaan merupakan aktiviti yang lazim dilakukan oleh manusia. Menurut Islam segala pekerjaan dan amalan yang baik akan mendapat pahala, manakala segala kejahatan, keburukan dan pekerjaan yang tidak bermanfaat hendaklah dijauhi.

Kedua, manusia adalah makhluk yang cerdik dan berupaya mengendalikan kawalan diri dalam kehidupan seharian. Dalam Islam kesedaran kerohanian dan intelektual penting bagi membolehkan manusia mangatasi nafsu serta kemahuan untuk mencapai tingkat kawalan diri yang paling tinggi.

Ketiga, manusia adalah makhluk yang bertanggungjawab serta berpotensi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Dalam Islam, setiap bayi yang dilahirkan adalah suci, dan ia mempunyai potensi yang boleh dimotivasikan bagi membolehkan ia menjalankan tanggungjawab dengan baik Islam menganjurkan supaya adanya pengawasan untuk menjamin kejahatan manusia dapat dihapuskan, manakala kebaikan manusia dimotivasikan.

Keempat, mausia adalah makhluk intelek yang dapat menggunakan akal dan kepakarannya untuk memajukan manusia di muka bumi dan menjadikannya lebih kaya. Setiap individu mempnyai kebebasan membuat perubahan, namun kebebasan perlu disertai dengan tanggungjawab. Ini dapat mewujudkan kebolehan kreatif manusia.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa Islam melihat manusia dalam bentuk yang baik dan murni. Islam meletakkan masalah kepercayaan ditempat tertinggai bagi membentuk personaliti. Personaliti Islam yang muncul daripada sistem kepercayaan tersebut mempunyai empat komponen asas, seperti yang diterangkan dalam al-Quran dan Hadith, iaitu:

i. kepercayaan kepada keesaan Allah
ii. kepercayaan kepada kesatuan umat
iii. menghormati manusia sebagai individu
iv. penghapusan sifat perkauman dalam masyarakat.

Fungsi Manusia

Fungsi manusia yang asas adalah untuk beribadat kepada Allah, yang merangkumi satu konsep yang luas.Islam mengiktiraf sesuatu perkara yang dilakukan oleh manusia itu sebagai ibadat sekiranya ia memenuhi syarat iaitu diniatkan semata-mata untuk mencari keredaan Allah, dan dengan cara yang betul.Berbeza dengan istilah ‘penyembahan’ yang digunakan oleh barat.
Selain fungsi manusia untuk beribadat kepada Allah, manusia juga diangkat menjadi khalifah di muka bumi ini, memerintah dan memakmurkannya mengikut syariat Islam. Seorang sarjana Islam yang terkemuka, Nadvi, menerangkan tentang, bagaimana pencapaian manusia sebagai khalifah Allah dapat diperolehi:

i. Bahawa manusia perlu memperoleh pengetahuan yang utuh tentang peristiwa tabii yang lengkap dan hukum-hukum yang mendasari kerjanya.
ii. Manusia harus mengawal nafsu tabii sepenuhnya (sifat-sifat keburukan)
iii. Manusia harus mengamalkan akhlak yang mulia, yang dapat mendekatkan dirinya kapada Yang Esa.

Tanggungjawab Manusia

Tanggungjawab penting yang dipikul oleh manusia telah dijelaskan dalam al-Quran, iaitu kepercayaan untuk memakmurkan muka bumi. Merangkumi kepatuhan kepada segala perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya. Sebagaimana firman Allah:

‘Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikulkan amanah itu oleh manusia. Sesungguhhya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.’
( Al-Quran, 33:72 )

Akal dan roh merupakan dua elemen penting, menyebabkan manusia saja di antara sekelian makhluk Allah yang diberi kepercayaan daripadaNya.Dengan panduan akal yang dikurniakan Allah membolehkan manusia membezakan buruk baik sessuatu yang dilakukan. Oleh sebab itu setiap individu adalah bertanggungjawab di atas perbuatannya sendiri, samada baik atau jahat.

Sifat Politik Manusia

Adalah penting bagi umat Islam untuk berusaha ke arah membentuk keadaan dan situasi yang berguna dan baik dalam hubungan sesama manusia. Sifat politik manusia dalam Islam berkisar kepada dua konsep penting iaitu keimanan dan perubahan. Keimanan perlu menjadi teras utama dalam menjalani kehidupan yang berkait rapat dengan aktiviti manusia yang pelbagai ragam dan jenis.

Manusia, menurut Islam tidak disuruh untuk berdiam diri, malahan disuruh melakukan perubahan. Perubahan perlu dilakukan bagi menggantikan keadaan yang kurang baik atau memperbaiki keadaan. Perubahan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan elemen ketauhidan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

‘Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, dan jika dia tidak boleh ,diubahnya dengan lidahnya; dan apabila ia tidak mampu berbuat demikian, ubahlah dengan hatinya- maka itu adalah selemah-lemah iman’.
Kelakuan Sosial Manusia

Megid Mansour, membahaskan tentang kelakuan sosial manusia dari perspektif Islam dengan mengariskan beberapa ciri . Pertamanya Allah mencipta manusia dengan dilengkapi keinginan, berdasarkan kecergasan seperti makan,minum, bergerak dan bersahabat.Kedua, mausia mempunyai sifat ragu-ragu dan ingin tahun yang tinggi, sering mencari sebab dan musabab.

Ketiganya, manusia dicipta untuk menikmati kehidupan akhirat Jika telah diletakkan matlamat akhirat sebagai sasaran, maka adalah sukar untuk mengongkong aktiviti manusia dan menghalang pencapaian matlamat tersebut. Akhir sekali beliau menyatakan bahawa manusia, sesungguhnya tidak dapat hidup bersendirian kerana ia adalah makhluk sosial yang perlu berada di dalam kumplan.


Manusia, Pembangunan Dan Modenisasi Dalam Islam

Proses pembangunan dalam Islam hendaklah ditujukan kepada matlamat utama iaitu mengabdikan diri kepada Allah, bukannya kepada matlamat pembangunan yang tidak berunsur Islam. Pembangunan dalam Islam cuba mengimbangi kebendaan dan keperluan mental dan kerohanian.Islam tidak melarang keinginan terhadap kekayaan material, namun tidak menjadikannya sebagi matlamat utama kewujudan manusia.

Oleh sebab itu umat Islam digalakkan mencari ilmu pengetahuan, kerana tanpa ilmu pengetahuan, Islam tidak mungkin berkembang dengan berbagai cabang, termasuklah sains dan teknologi. Sesungguhnya, Islam mampu berkembang, membangun dan memodenkan sebagaimana pembangunan lain.


Kesimpulan

Perancangan pembangunan dan modenisasi sesebuah masyarakat, perlukan kepada pemahaman yang jelas dan nyata tentang unsur yang paling penting dalam proses pembangunan iaitu manusia sendiri. Oleh sebab itu perlu dikaji tentang tabii manusia dan asal-usul kejadian manusia itu sendiri.

No comments:

Post a Comment