Sunday, August 23, 2009

Ke Arah Mana Sistem Pendidikan Agama Johor



Sebagai anak Johor saya berbangga kerana, negeri Johor merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan satu sistem pendidikan agama yang telah beroperasi sekian lama. Sistem pendidikan ini mula menjadi perhatian negeri-negeri lain yang bercadang mencontohinya untuk dilaksanakan dinegeri masing-masing. Sistem pendidikan agama yang satu ketika dulu berkesan melahirkan anak didik yang beramal dengan ilmu fardhu ain yang diajarkan kini seolah-olah mula menampakkan kemerosotan pengamalan ilmu, bahkan tidak lebih untuk tujuan penilaian peperiksaan sahaja.

Saya juga melihat matlamat sistem pendidikan agama di negeri Johor yang diamalkan tidak nampak jelas, melainkan hanya untuk melahirkan kitaran tenaga pengajar bagi sistem pendidikan agama itu sendiri setelah seseorang pelajar itu menamatkan Kelas Khas.Tiada lanjutannya selepas itu. Malahan kalau dilihat dari segi kandungan kurikulumnya sekarang ini kurang mantap dan mendalam jika dibandingkan dengan kurikulum sebelumya ketika menggunakan ‘kitab’. Penggunaan buku teks yang sarat dengan gambar-gambar ini menyukarkan untuk pelajar membuat ulangkaji sekiranya tanpa tunjuk ajar guru. Penggunaan buku teks ini juga sering kali berubah-ubah dan difahamkan untuk tahun hadapan akan ada lagi perubahan buku teks. Ini tentunya akan membebankan ibubapa dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat, kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli semula buku teks baru yang sepatutnya boleh dimanfaatkan buku teks lama.Saya mengharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil langkah-langkah bagi penambahbaikan agar kita dapat melihat generasi akan datang di negeri Johor adalah generasi yang boleh dijadikan contoh yang baik bukannya contoh buruk dengan masalah gejala sosial seperti yang dapat di lihat ketika ini.

Usaha kerajaan Johor melalui Jabatan Agama Johor, memperkenalkan sistem pendidikan bersepadu dengan mewujudkan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) patut diberi pujian kerana secara jelas dapat membentuk pelajar seperti yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu membentuk insan seimbang dari JERI. Sekolah ini yang mula beroperasi pada tahun 2001 menggabungkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurukulum Baru Sekolah Agama (KBSA) yang diamalkan di negeri Johor. Peringkat awal ia menjadi tumpuan ramai ibubapa untuk menghantar anak mereka bersekolah dengan kesepaduannya itu.Satu projek kerajaan negeri yang mewujudkan satu SRAB bagi setiap daerah yang berjumlah 8 buah sekolah kesemuanya.Kecemerlangan telah dapat ditunjukkan dengan pencapaian yang baik dalam UPSR dan SDEA untuk kumpulan pertamanya, merujuk sekolah di satu daerah di Johor.

Namun kecemerlangan ini terencat dengan pelbagai kekurangan dan kelemahan pada peringkat pengurusan dan pentadbiran. Antaranya dengan kekurangan tenaga guru dan pertukaran guru yang sering barlaku telah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.Masalah pertukaran guru yang sering berlaku ini sepatutnya dapat diatasi sekiranya pihak Jabatan Agama Johor yang bertanggungjawab sentiasa perihatin dengan kebajikan guru-guru. Difahamkan kebanyakan guru-guru yang mengajar berstatus kontrak dengan tiada jaminan masadepan. Memandangkan keadaan ini, menyebabkan ramai guru mengambil keputusan untuk memohon menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Kementerian Pelajaran yang lebih menjamin masa depan. Ini berlaku di salah sebuah SRAB tersebut. Akibatnya proses pengajaran dan pembelajaran terjejas.

Saya bersetuju dengan pandangan seorang bapa, Mohd Razi Saha dan bekas pelajar dalam ruangan ini mengenai pembelaan guru-guru SAR khususnya di Johor agar diberi perhatian yang sewajarnya. Mengapa usaha untuk menjadikan SRAB sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran ditolak sedangkan pihak Jabatan Agama Johor sendiri tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjaga kebajikan guru dan kemudahan di SRAB.Sekali lagi ketepikan sikap ego dan kepentingan demi masa depan anak-anak. Kita tidak mahu melihat SRAB yang diwujudkan oleh Jabatan Agama Johor sendiri akan berkubur setelah menunjukkan kecemerlangan dan beroperasi beberapa tahun.

Harapan saya, semoga perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya oleh Menteri Besar sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman demi kelangsungan pendidikan agama di negeri Johor.