Friday, October 16, 2009

TABII MANUSIA

BAB 2: SUMBER PEMBENTUKAN AKHLAK


Al-Quran


Al-Quran merupakan sumber rujukan utama dalam ilmu akhlak. Dalam al-Quran perkataan “ al-khuluq” diertikan sebagai kejadian atau ciptaan yang menepati juga istilah sahsiah keperibadian manusia. Al-Quran menjelaskan tentang akhlak yang kedudukannya lebih baik dan tinggi berbanding dengan etika atau moral, meskipun terdapat persamaan.


Hadith

Akhlak yang dinyatakan di dalam al-Quran diperjelaskan lagi menerusi hadith Rasulullah. Sebagaimana dinyatakan di dalam hadith sendiri, sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya aku diutuskan, hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik”
(Riwayat Ahmad)



Haditah-hadith banyak menunjukkan Rasulullah merupakan sumber rujukan akhlak, di mana segala perkataan dan perbuatan, termasuklah diamnya baginda menggambarkan akhlaknya.

Perbezaan yang jelas di antara akhlak dan etika/moral adalah dari segi sumber pembentukannya dan tujuan berakhlak. Akhlak adalah bersumberkan kepada al-Quran dan hadith manakala etika atau moral adalah bertitik-tolak daripada akal semata-mata.
Akhlak dalam Islam menyatakan tentang matlamat dan tujuan akhlak iaitu untuk kebahagian di dunia dan akhirat melalui berkat keredhaan Allah. Bagi etika atau moral tujuannya adalah untuk mendapat habuan yang dapat dinikmati di dunia semata-mata.




Prinsip-Prinsip Akhlak Islam

Dalam ilmu akhlak Islam terdapat empat prinsip akhlak iaitu:



I. Persamaan Taraf

Islam memandang semua manusia mempunyai taraf yang sama kerana ia datang daripada sumber yang satu iaitu Adam dan Hawa. Hanya yang membezakan antara seseorang di sisi Allah adalah ketaqwaan. Sabagaimana firman Allah:

“ Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa”
(al-hujurat: 13)



II. Kebebasan Memilih

Kebebasan manusia dalam memilih sesuatu tidak terlepas daripada syariat Allah. Sehubungan dengan itu manusia harus ingat bahawa Allah telah menyediakan syurga dan neraka sebagai balasan daripada pemilihan yang dilakukan.


III. Tanggungjawanb

Semua orang mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan termasuklah terhadap agama, diri, orang lain dan persekitaran. Setiap hak dan tanggungjawab ini wajib dilaksanakan sebagaimana sabda Rasulullah:

“ Sesungguhnya bagi Tuhanmu ke atas kamu ada hak dan bagi dirimu ke atas kamu ada hak dan bagi ahli keluarga kamu ke atas kamu ada hak, maka
tunaikanlah setiap yang mempunyai hak tersebut akan haknya masing-masing.

IV. Syumul (Universal)

Islam adalah merupakan ad-deen yang sempurna termasuk di dalam segenap bidang kehidupan. Ia secocok dengan fitrah kejadian manusia dan dapat diterima oleh seluruh umat manusia.


Sabda Rasulullah s.a.w:

“ Akhlak yang baik dapat menghapuskan kesalahan, bagaikan air yang menghancurkan tanah yang keras. Dan akhlak yang jahat merosak amal, seperti cuka merosak manisnya madu”
( Riwayat Baihaqi)

No comments:

Post a Comment